Sunday, February 17, 2013

FRAGMEN 28: GERAK GEMPAR


Photo credit: walltor.com

“HARGHHHHHH!”

Lelaki itu merempuhnya. Fariz tunduk dan menahan kepalanya untuk menyondol perut lelaki itu. Hentakan ke perut pejal lelaki itu menyentap leher Fariz. Tengkuknya terasa kebas. Nafas Fariz tersekat-sekat bila kedua-dua tangan lelaki itu mencekik lehernya. Fariz menumbuk rusuk lelaki itu. Sekali… dua kali… beberapa kali. Tiada kesan!

Sebaliknya tubuhnya pula yang terangkat. Lehernya semakin sengal. Telinga Fariz mula berdesing. Petanda paru-parunya tidak cukup oksigen. Dia mesti bertindak segera sebelum kekurangan oksigen melemahkan tumpuan dan fikirannya. Tangan Fariz tergapai-gapai bila dia cuba melepaskan dirinya. Sesekali jejarinya terasa panas bila tersentuh lampu kalimantang di atas kepalanya.


Dia memperoleh satu idea. Dia mesti bertindak cepat. Jika tidak, dia pasti pengsan dalam beberapa saat lagi. Dengan sekali sentap, mentol kalimantang itu tercabut dari soketnya. Ruang itu serta merta menjadi gelap. Cengkaman lelaki itu pada lehernya semakin kukuh.


‘Tap!’

Fariz mematah lampu kalimantang itu dan segera menusuk pinggang lelaki itu dari kedua-dua arah.
‘Arghhh!’

Lelaki itu terjerit kesakitan. Cekikannya di leher Fariz menjadi longgar. Fariz tergelongsor ke tanah. Dengan cepat dia mencabut lampu kalimantang dari pinggang lelaki itu lalu menghempuk kuat muka musuhnya dengan kedua-dua tapak tangannya. Lelaki itu rebah.


Kini Fariz menguasai keadaan. Dia menghunjam tubuhnya lalu menghempap dada lelaki itu dengan lututnya. Lelaki itu mengeruh. Fariz lantas menekan titik nadi di leher lelaki itu. Sebentar sahaja musuhnya itu tidak bersuara lagi. Menyedari musuhnya sudah pengsan, Fariz bingkas bangun menuju ke pintu.


Cahaya dari mentol  lampu  menyilaukan mata Fariz buat seketika bila daun pintu itu dikuak. Fariz memerhati ke sekeliling. Dia berada di dalam sebuah bilik yang dipenuhi kotak dan tong daripada pelbagai saiz.


‘Setor…’ kata hati Fariz.


Dia tertoleh ke kiri bila terdengar suara dua orang sedang bercakap-cakap. Dia mengintai perlahan-lahan ke hala suara yang didengarinya. Dan ternampak seorang lelaki sedang duduk sambil meratah ayam dengan lahapnya.


‘Makan tengahari…’ kata hati Fariz.


Lelaki itu bercakap dengan seseorang berhampirannya. Namun, Fariz tidak nampak kelibat rakan lelaki itu.
Fariz berdiri tersandar sambil berfikir. Dia mesti menyelinap tanpa disedari. Tidak harus membuang tenaga kecuali perlu.  Fariz menarik nafas yang panjang sebelum memulakan langkah. 

"Unakwenda wapi?” kedengaran suara menegurnya.
‘Hendak ke mana?’ minda Fariz segera menterjemah sapaan itu. ‘Bahasa Swahili!’ kata hatinya lagi.

Fariz segera tertoleh ke kiri dan kanan. Berlakon seolah-olah tercari sesuatu.  Sambil itu matanya melingas untuk mempastikan di manakah lelaki yang menyapanya itu berada.


Kwa ajili ya kutafuta risasi... Wehliye akaniuliza kupata hiyo kwa ajili yake!” kata Fariz. Berdalih seolah-olah dia salah seorang daripada lanun yang dipinta Wehliye ke setor ini untuk mendapatkan bekalan peluru.

“Risasi?”
soal suara itu.
“Hmm... risasi,” jawab Fariz dengan jelas, untuk menyakinkan si penyoal.

Tiba-tiba segulung magazin peluru tercampak di depannya. Langkah Fariz terhenti. Perlahan-lahan dia mendongak. Terpandang seorang lelaki berdiri di atas rak kotak-kotak sambil mencekak pinggangnya. Sepucuk senapang tersasar ke arah Fariz.


‘Klik!’


Fariz tertoleh ke hadapan. Lelaki yang sedang melahap ayam juga sedang menghunus pistol ke arahnya. Mulutnya masih terkunyah-kunyah menghabiskan makanannya. Hormon adrenalin terus meluncur di pembuluh darah Fariz. Bulu tengkuknya terasa berdiri. Dia mendengus perlahan. Melambatkan pernafasannya agar tidak kelihatan panik. Bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.


“Who are you?”
tanya lelaki itu.
Fariz tidak menjawab. Fikirannya lekas berfikir apakah tindakan pelan seterusnya. Keadaannya sukar pada kali ini kerana dua senjata menghala ke arahnya. Dan salah satunya dari atas kepalanya.

‘Macam mana aku nak elak, ni? Kotak-kotak kat tepi aku semuanya nampak berat. Tak sempat aku angkat sebagai perisai. Aku tak sempat serang salah seorang pun.  Aku mesti lari. Tapi nak lari macam mana? Menapak pun aku tak sempat!’ Fariz berbicara di dalam hatinya.


“Who are youuuu?”
lelaki itu membesarkan suaranya. “You don’t answer, you die!”
Fariz masih berdiam diri untuk mencari akal. Fonsel di poket seluarnya bergetar pula. Pasti BISIK yang menghantar arahan terkini.

 SETELAH diberitahu Abdool di manakah Datuk Rauzah berada, Jeffri segera menyusur ke arah belakang markas Bad Holac ini. Di sebuah bilik yang kelihatan terang di dalam, Jeffri berhenti.

Arahan terkini yang diperoleh Jeffri ialah membawa Ketua Pegawai Operasi Petromal ini keluar dari markas Bad Holac tepat pada jam 14.30. Ikut laluan ke Baraawe. Sebuah helikopter akan muncul untuk menyelamat.

Jeffri mengintai melalui celah-celah papan yang renggang. Dia nampak tubuh Datuk Rauzah duduk membelakangi pintu. Jeffri mengetuk pintu secara perlahan. Tidak mahu mengejutkan wanita itu. Datuk Rauzah tidak menoleh pun.

Kunci pintu dibuka. Daun pintu ditolak. Perlahan-lahan Jeffri melangkah. Dia perlu berpakat dengan wanita itu supaya operasi menyelamat dapat berjalan lancar. Tetapi semuanya perlu dilakukan dengan berhati-hati agar perbualannya dengan Datuk Rauzah ringkas dan tidak menarik perhatian.


DATUK RAUZAH
sedar ada seseorang yang masuk ke biliknya. Dia mengagak orang yang berada di belakangnya itu pasti anggota lanun. Namun dia sudah bersedia. Telinganya mendengar derap kasut tetamu yang hadir. Matanya terpejam dan hatinya berzikir memohon kekuatan. Di tangannya tergenggam serpihan kaca pintu almari yang baru dipecahkannya sebentar tadi!


Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...

No comments:

Post a Comment