Sunday, February 24, 2013

FRAGMEN 29: GERAK GEMPAR



 
Photo credit: sciencedaily.com
 
DATUK RAUZAH berdiri tegak menghadap ke jendela. Memandang  pasir dan debu dan kejauhan. Namun, telinga menangkap bunyi geseran kasut orang yang baru masuk ke biliknya. Genggaman kaca di tangannya semakin kukuh. Malam tadi, ketika dia berbaring dan baru hendak terlelap, dia terasa ada seseorang menceroboh ke biliknya.

Seorang lanun menghampiri lalu menyentuh tubuhnya. Mujurlah dia tersedar dan menjerit meminta tolong. Lanun itu sempat lari sebelum lanun-lanun yang lain tiba. Dia bersyukur kerana tidak diapa-apakan.

Kejadian semalam membuat Datuk Rauzah lebih bersedia. Kaca pintu almari di sudut bilik itu dipecahkan. Cebisannya yang berbentuk melengkung seperti badik diambil untuk dijadikan senjata. Buat persediaan andainya dia cuba diganggu lagi seperti sekarang. Dia tahu kaca itu bukan sahaja boleh meluka, malah merobek!


“Assalamualaikum...”

Kedengaran ucapan selamat dari orang yang memasuki biliknya. Suara itu parau dan separuh berbisik. Tentu sekali dia seorang lanun juga, fikir Datuk Rauzah. Hatinya mula tertanya-tanya apa yang dikehendaki oleh lanun yang satu ini. Cara dia memasuki bilik ini pun seperti menyelinap. Mungkin dia berniat jahat. Tetapi, kalau dia berniat serong, untuk apa dia memberi salam?

“Assalamaualaikum...”

Datuk Rauzah tidak bersuara untuk menjawab salam yang diulang ini. Sebaliknya dia hanya mengangguk. Sebagai tanda dia menjawab salam itu. Telinganya masih peka mendengar dari mana arah suara itu. Apakah tetamu yang tidak diundang ini sudah menghampirinya? Apakah salam itu hanya helah? Mungkin lanun semalam datang semula untuk mencabulnya?

“Cepat!” suara itu berbisik lagi. “Saya dari Malaysia. Saya datang nak selamatkan Datuk.”

Bahasa Melayu fasih yang digunakan lelaki itu membuatkan Datuk Rauzah jadi kaget. Bagai tidak percaya, ada orang Melayu yang datang untuk menyelamatkannya. Siapa? Lantas dia menoleh.

Sebaik sahaja pandangan mereka bertembung, Jeffri segera menekapkan jari telunjuk ke mulutnya sendiri. Meminta Datuk Rauzah diam. Jeffri mengintai ke luar pintu. Mempastikan laluannya nanti tiada halangan.

“Datuk jangan bimbang. Insya-ALLAH, dalam tempoh 24 jam, Datuk sudah berada di tanahair. Ikut saya,” ujar Jeffri seraya menguak daun pintu dan menggamit Datuk Rauzah mengekorinya.

Meskipun ada seribu persoalan yang ingin ditanya, Datuk Rauzah hanya mendiamkan diri. Dia faham, dalam keadaan yang genting ini, dia perlu patuh mengikut arahan.           Perlahan-lahan, cebisan kaca di tangannya dilepaskan ke lantai. Lalu dia terjengkit-jengkit mengekori Jeffri.

Bilik Operasi BISIK, Merca, Somalia

“BOS! Tengok skrin!”

Tuan Aziz menoleh seketika bila namanya diseru. Memandang Suren yang mencantumkan ibu jari dan jari telunjuknya membuat isyarat ‘okey.’ Dia lantas memandang skrin komputer di hadapannya. Cahaya hijau kelihatan berkelip-kelip dari lokasi markas Bad Holac. Isyarat menandakan Datuk Rauzah sedang dibawa keluar. Tuan Aziz menekan butang hijau di sisi komputernya.

“Perhatian semua... perhatian semua. Ops Sambar bermula... Ops Sambar bermula!” ujar Tuan Aziz.

Sebaik sahaja memaklumkan permulaan operasi, Tuan Aziz menadah tangan dan berdoa kepada Yang Maha Esa agar semuanya berjalan lancar dan sempurna.

KD Haruan, Lautan Hindi, 60 batu nautika dari Somalia

KAPTEN kapal frigat Tentera Laut Diraja Malaysia yang berlabuh sejak tiga hari lalu menerima isyarat BISIK. Dia segera mengarahkan anak kapalnya melepaskan Sang Cenderawasih.

Sang Cenderawasih adalah unmanned arial vehicle(UAV) ataupun kapalterbang terbang tanpa pemandu. Ia dilepaskan sebagai alat pemancar isyarat memantau pergerakan mereka yang terlibat dalam Operasi Sambar. Dalam keadaan terdesak ia mampu melancarkan peluru berpandu yang tersisip di bawah sayapnya.

Kehadiran UAV ini lebih praktikal daripada satelit perisik Mysat-4 kepunyaan Malaysia kerana ia boleh menghantar isyarat dan imej yang beresolusi tinggi. Seketika sahaja Sang Cenderawasih berdesup melepasi awan menghala ke daratan Somalia. Seluruh pergerakan Ops Sambar itu dapat ditonton dengan jelas oleh Perdana Menteri di Bilik Gerakan Majlis Keselamatan Negara, Putrajaya.

Markas Bad Holac, Somalia

DENGAN tangan terikat, Fariz diheret ke bilik utama markas itu. Beberapa kali tengkuknya ditunjal supaya segera melangkah. Sebentar tadi, dia tahu yang dia tidak boleh melawan dalam pergelutan dua lawan satu. Kedudukan seorang musuh di hadapan dan seorang lagi di tempat yang tinggi menyukarkannya bertindak. Bila tahu yang dia tidak akan memenangi pergelutan itu, Fariz terus mengangkat tangannya.

Langkah lanun di hadapannya terhenti bila melewati bilik Datuk Rauzah. Dia hairan kerana pintunya terenggang. Lantas dia menjenguk ke dalam sambil membebel. Kedua-duanya kini berbalas cakap dengan suara yang cemas!

Fariz terdengar mereka sedang berbincang mengenai kehilangan Datuk Rauzah. Kini dia tahu Jeffri telah membawa keluar wanita itu dari kurungan. Mindanya segera merangka pelan melepas diri ketika musuhnya yang berdua asyik berbincang.

DARI sudut yang gelap tidak jauh dari situ, Jeffri nampak kelibat mereka bertiga. Setelah terdengar bunyi orang menghampiri, dia lekas-lekas membawa Datuk Rauzah untuk bersembunyi di situ.

“Apalah, budak ni! Buat aral pulak,” gumam Jeffri bila nampak tangan Fariz terikat.

Mindanya segera mentafsir dan mencongak apa yang harus dilakukan untuk melepaskan perisik junior itu. Dalam keadaan yang genting ini, masa boleh menentukan berjaya atau gagalnya sesebuah operasi. Tersilap langkah, nyawa menjadi galang gantinya!

Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...

No comments:

Post a Comment