Photocredit: kootation.com
DARI sudut yang gelap tidak
jauh dari situ, Jeffri nampak kelibat mereka bertiga. Setelah terdengar bunyi
orang menghampiri, dia lekas-lekas membawa Datuk Rauzah untuk bersembunyi di
situ.
“Apalah, budak ni! Buat aral pulak,” gumam Jeffri bila
nampak tangan Fariz terikat.
Mindanya segera
mentafsir dan mencongak apa yang harus dilakukan untuk melepaskan perisik
junior itu. Dalam keadaan yang genting ini, masa boleh menentukan berjaya atau
gagalnya sesebuah operasi. Tersilap langkah, nyawa pula jadi galang gantinya!
“Yeye alikimbia mbali! Yeye alikimbia mbali!”
Jeffri berlagak
cemas dengan menceritakan Datuk Rauzah sudah lari. Jeffri mengunjuk lorong di
sebelah kirinya. Kedua-dua lanun itu terpinga-pinga seketika sebelum berlari ke
arah sebelah kiri.
“Wewe kuangalia baada yake.” Sambil berlari, seorang daripada mereka memerintah Jeffri untuk menjaga Fariz.
“Ndiyo! Ndiyo!” jawab Jeffri sambil terangguk-angguk beberapa kali.
“Ni, budak saya!” Jeffri memperkenalkan Fariz kepada
Datuk Rauzah.
“Rakan!” pintas Fariz dengan wajah masam mencuka.
Fariz tidak suka
dipanggil ‘budak saya.’ Panggilan itu bagai memperlekeh dirinya. Walhal, mereka
sama-sama bertugas sebagai perisik. Bezanya hanya pada pengalaman. Jeffri jauh
lebih berpengalaman kerana sudah berkhidmat lebih lama daripadanya. Itu tidak
boleh menjadikan dia digelar sebagai ‘budak saya.’
Datuk Rauzah
perasan perubahan riak wajah Fariz. Pasti ada sesuatu yang tidak enak berlaku
di antara keduanya. Namun, di ketika yang genting itu, dia tidak mahu ambil
peduli. Dia hanya mengekori Jeffri yang bergerak di hadapan dan Fariz di
belakangnya.
JEFFRI menguak daun pintu.
Kemudian menggamit Datuk Rauzah dan Fariz. Namun, sebaik sahaja Fariz melepasi
pintu itu, satu hentakan kuat terhunjam ke kepalanya. Fariz nampak bintang.
Belum sempat dia menggeleng untuk menghilangkan pandangannya yang berpinar,
hentakan itu tiba lagi. Fariz tersungkur.
“Jeff...” seru Fariz. Meminta bantuan.
“Tak ada masa dah. Kau selesaikan sendiri!”
Jawapan Jeffri menaikkan darahnya. Nampaknya dia terpaksa
menyelesaikan masalahnya sendiri. Dia menoleh ke kiri dan kanan. Tercari-cari
apakah yang menghentak kepalanya. Tiba-tiba dia nampak sesusuk tubuh.
‘Macam kenal dia ni,’ kata hati Fariz. Lantas dia
teringat lelaki yang berdepan dengannya ini adalah pengawal yang berentap
dengannya ketika memasuki markas ini. Lelaki berjambang yang tidak berbaju ini
semakin menghampiri.
Lelaki yang dipengsankan baru sebentar tadi sudah
sedar. Tentu sekali tubuhnya sasa. Tulang besi berurat
dawai! Dia mesti segera bertindak. Walau betapa banyak teknik tempur tanpa
senjata sudah dijalaninya, dia mesti menggunakan akal.
Lelaki itu mencekak bajunya. Fariz cuba menepis.
Kedua-dua lengannya cuba menolak lengan lelaki itu. Namun sia-sia. Dia cuba
mengangkat kakinya. Namun tubuhnya telah dihimpit perut lelaki itu. Kini
tubuhnya tertolak ke tembok.
Melihat dirinya sukar melawan, lelaki itu mula tersengih.
Menampakkan giginya yang berkarat. Kemudian lelaki itu tertawa. Mulanya
perlahan, kemudian semakin kuat. Membingitkan telinga Fariz. Janggut lelaki itu
kelihatan bergerak dan bergegar mengikut gerakan mulutnya yang ternganga
tertawa.
“Aku tak ada masa!” bentak Fariz.
“Ha?” Lelaki itu terhenti tertawa. Pasti dia pelik dengan
bahasa yang digunakan Fariz.
Sesaat kealpaan sudah cukup buat Fariz. Dengan pantas dia
merentap janggut lelaki itu. Tangan lelaki itu terlepas dari leher baju Fariz.
Namun Fariz tetap tidak melepaskan regangan pada janggut lelaki itu.
Menyebabkan dia tertunduk bila tangan Fariz menarik janggut itu ke bawah.
Fariz menghentak lututnya ke leher. Lelaki itu meraung.
Dengan cepat Fariz menggunakan kekuatan kedua-dua tangannya untuk melayangkan
dirinya terus ke belakang tubuh lelaki itu. Impak gerakan itu membuatkan lelaki
itu tertiarap. Fariz tidak membuang masa. Jika sebelum ini Fariz hanya menekan
titik nadi di leher lelaki itu, pada kali ini Fariz terus memancung tengkuknya.
“Selamat tidur!” ujar Fariz sebelum berpaling dan berlari
ke luar.
“Saya nak tunggu!”
jawab Normala yang kini menjadi pemandu.
Walaupun menunggu,
Normala menekan-nekan pedal jeep buruk itu. Tidak mahu enjinnya mati secara
tiba-tiba. Asap hitam menyembur-nyembur dari ekzosnya.
“Hmm... petrol gred
satu!” ujar Datuk Rauzah yang duduk di kerusi belakang. Kepalanya terdongak
tinggi. Tertoleh ke kiri dan kanan. Menangkap bau petrol yang singgah ke
hidungnya.
“Ye ke?” tanya
Normala. Curiga hendak tahu.
“Emm, emm. Ini
kerja saya, kan?”
Jeffri mencebir.
Pandangannya bersilih ganti memandang Normala di kanan dan Datuk Rauzah di
belakangnya. Dia tidak senang, dalam keadaan sebegini genting pun mereka boleh
bercerita tentang minyak.
“Jalan!” ujar
Jeffri seraya menggagau stering.
Normala menepis dan
merenung ejen itu.
“Tunggulah, Jeff!
Seminit lagi! Dia orang kita!” bantah Normala.
“Jalan!” ujar Fariz
sambil melompat ke belakang jeep.
Ketiga-tiga mereka
menoleh ke arah Fariz. Tidak sedar sejak bila Fariz sampai. Seketika sahaja
jeep itu sudah memecut meninggalkan markas Bad
Holac.
“Kau tau jalan?” soal Jeffri.
“Tak tau!” jawab Normala.
“Habis, kita ke mana ni?”
“Baraawe!”
“Tadi kata, tak tau jalan! Loyar
buruk!”
“Tengok kat atas tu!” jawab Normala.
Jeffri
mendongak. Fariz dan Datuk Rauzah pun berbuat begitu. Melihat kapalterbang
tanpa pemandu yang jauh di langit. Hanya titik putih yang berkilau kelihatan
oleh mata kasar. Bagai cenderawasih yang terbang di angkasaraya.
Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...
No comments:
Post a Comment