Photo credit: fxguide.com
Ibupejabat
Extron, Houston, Amerika
ABRAM William menumbuk mejanya. Kemudian duduk tersandar di
kerusinya. Dahinya diusap-usap. Cuba melegakan rasa stres yang dialami bila
mendapat khabar dari Wehliye Datuk Rauzah telah dibawa lari.
Ketua Pegawai
Eksekutif Extron itu tidak boleh menerima hakikat usahanya untuk mensabotaj Petromal
akan mendapat tentangan. Apa yang dimahukan hanya melewat-lewatkan perjanjian
kerjasama di antara syarikat minyak Malaysia itu dengan kerajaan Ganezuela.
Bila dia mendapat
tahu kapal Lancang Kuning kepunyaan Petromal itu dirampas lanun Somalia yang
diketuai oleh Wehliye Amare, Abram mengambil kesempatan untuk menawarkan
ganjaran kepada Wehliye agar Ketua Pengarah Operasi Petromal, Datuk Rauzah
Hamdi yang kebetulannya berada di atas kapal minyak Malaysia itu ditahan dan
dibawa menemuinya.
“Helo, Rock Robson!”
ujar Abram William sebaik sahaja panggilan telefonnya diangkat di hujung
talian.
“Ya, William!”
“Kau dah tahu apa
yang aku dah tahu?” tanya Abram.
“Ya! Pada saat ini,
aku sedang pantau pergerakan mereka. Bila tiba masanya, aku akan pintas. Serahkan
pada aku, aku tahulah apa yang aku nak buat!” jawab Rock Robson.
“Bagus! Tapi ingat…
aku mahu tahanan itu ditangkap hidup-hidup!” Abram member ingatan.
“Oh itu masalah
kecil. Semuanya beres! Kau tunggu!” jawab Rock.
Bilik Operasi Gruesome Group, Hermoza Ciudad, Ganezuela
ROCK ROBSON. Bekas General yang berpengalaman berkhidmat selama 35
tahun di United States Army. Beliau pernah menjadi komander ketika bertugas di
Afghanistan pada tahun 2001 dan Iraq pada tahun 2008. Rock juga pernah
berkhidmat sebagai komander International Security Assistance Force (ISAF).
Kini beliau
merupakan Pengarah Gruesome Group, sebuah agensi militeri yang mengawal
pelbagai kepentingan syarikat-syarikat swasta antarabangsa Amerika di merata
dunia. Ekstron Corporation, sebuah syarikat minyak Amerika adalah salah satu di
antaranya.
Fasiliti Gruesome
Group juga canggih. Pengalaman Rock dalam bidang ketenteraan dan perisikan
membolehkan syarikat ini melatih para petugasnya dengan cara ala-tentera. Malah,
sebahagian besar daripada anggota petugasnya di medan merupakan bekas-bekas
askar yang berpengalaman.
Untuk menjaga kepentingan syarikat antarabangsa
Amerika di merata dunia, Rock juga menggunakan pendekatan teknologi mutakhir. Melalui teknologi juga dia memperoleh imej lokasi-lokasi operasinya di serata dunia. Namun…
“Mana gambarnya? Mana dia?” pekik Rock
kepada para petugasnya.
Suaranya menggaung
menjangkaui seluruh bilik operasi. Para petugas di bilik itu tertunduk-tunduk
cuba mendapat imej terkini kenderaan yang dipandu Normala. Namun, imej itu
masih belum kelihatan.
“Kami tak dapat
lagi, tuan!” jawab seseorang petugas yang berada berhampiran dengan tempatnya
berdiri.
“Saya tak mahu
dengar jawapan itu!”
“Benar, tuan!
Mungkin kegagalan satelit mengesannya!”
Rocak Robson
mencebir. “Kalau macam tu, kita guna cara konvensional! Arahkan pasukan kita di
darat mengesan kedudukan kenderaan musuh!”
Kawahia Kijiji, 30 Kilometer dari Baraawe
KENDERAAN yang dipandu Normala masih bergerak laju.
Tayar-tayarnya menggeser bumi dan menggembur tanah. Mengangkat pasir dari bumi
dan meninggalkan kenderaan itu lingkaran debu yang berputar dan menghilang.
Jeffri yang duduk bagai patung di
sebelah Normala. Jejarinya kemas berada di picu rifel Kalashnikov yang dibawa. Datuk Rauzah pula sempat memejam mata. Meskipun
terkatup, fikirannya terawang-awang entah ke mana akibat keletihan. Fariz yang
berdiri di belakang jeep yang tidak berbumbung itu sentiasa bersiap siaga.
Memicing pandangannya pada setiap batu dan di sebalik pepohon kecil yang dilalui jeep ini. Awas dari segala
kemungkinan.
“Wow!”
Normala memutar setereng ke kiri
apabila sebuah pacuan empat roda memintas kenderaannya. Datuk Rauzah terpekik
seketika dan terus berpaut pada palang kerusi kerana terkejut. Jeffri tidak
menunggu lama. Rifelnya memuntahkan peluru.
Kenderaan musuh yang dielak sempat
memintas. Debu yang digembur dari tayar kenderaan itu membutakan pandangan.
Seseorang dari kenderaan musuh sudah berdiri mengangkat pistol. Normala membrek
dan membelok ke kiri! Membiarkan kenderaan musuh meninggalkan jeepnya.
“Hati-hati!” jerit Fariz.
Sesaat dia memberi amaran, kenderaan
mereka disondol oleh sebuah lagi kenderaan musuh yang baru muncul dari belakang!
Menyebabkan kenderaan itu bergesel dengan tebing di tepi jalan. Fariz terjatuh
terduduk. Pelurunya tersasar ke langit. Kenderaan musuh terus menyondol.
“Wo, wo, wo!”
Normala memutar setereng
kenderaannya ke kanan pula. Sempat mengelak kenderaan di hadapan. Membuatkan
kenderaan di belakang mereka menyondol kenderaan musuh di hadapan.
“Macam rali, pulak!” Dia tersengih dalam
keadaan yang genting sebegitu. Seolah-olah
seronok dengan situasi cemas yang dilalui.
Dia memecut meninggalkan kedua-dua
kenderaan musuh yang berlanggar. Dia tahu mereka akan terus mengejar
kenderaannya.
“Oh, oh…” kata Datuk Rauzah seraya
menuding ke langit.
Sebuah helikopter tiba-tiba
mengambang dari balik perbukitan berhampiran. Seolah-olah mengiringi kenderaan
yang dipandu Normala. Masing-masing sudah mengagak, itu helikopter musuh. Apa-apa
akan terjadi.
“Laut!” pekik Datuk Rauzah seraya
menuding pula ke hadapan. Memandang lautan yang luas terbentang.
“Bagus! Kita terkepung! Dari
belakang… depan… dan dari atas!” ujar Jeffri.
“Betul! Terperangkap di antara
darat, laut dan udara!” jawab Normala pula.
Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...
No comments:
Post a Comment