Photo credit: post-apocalypse.co.uk
Bilik Mesyuarat Majlis Pertahanan Negara, Putrajaya
SEMUA mata tertumpu pada imej jeep yang dipandu
Normala Mustakim dari pandangan udara. Imej yang dipancar dari Cenderawasih, kapalterbang
tanpa pemandu kepunyaan TUDM itu jelas tertayang seperti wayang gambar.
“Apa
dia buat, tu?” Datuk Badruldin Zakaria, Ketua Pengarah
Cawangan Khas memberi reaksi tatkala jeep itu keluar dari jalan raya lalu
merentas padang pasir.
Kira-kira 70 meter
di belakang, dua buah kenderaan musuh sedang laju mengekori. Kelihatan percikan-percikan
cahaya yang bergerak laju. Menandakan tembakan sedang dilepaskan oleh kedua-dua
pihak.
“Kita doakan mereka
selamat,” demikian ujar PM yang turut sama menonton situasi itu.
Para anggota Majlis
Pertahanan Negara yang lain bagai tak senang duduk. Mereka tahu, usaha menyelamat
Datuk Rauzah pasti menerima tentangan dan halangan. Peluang di antara berjaya atau
gagalnya Ops Sambar bergantung pada kecekapan dan koordinasi mereka yang berada di medan operasi.
Andainya berjaya, maruah
Malaysia akan dipandang tinggi. Jika sebaliknya, bukan sahaja imej negara dipandang
rendah, malah kemungkinan kesemua nyawa mereka yang berada di dalam jeep itu akan
hilang!
Kawahia Kijiji, 25
Kilometer dari Baraawe
NORMALA memandu laju merentasi padang pasir. Lautan Hindi kini
berada di sebelah kiri. Dua kenderaan musuh masih mengekori. Fariz masih berbalas
tembakan dengan musuh. Jeffri pula membidik rifelnya ke arah helikopter yang
sedang mengekori dari udara. Hanya menanti saat untuk melepaskan tembakan.
“Datuk! Tunduk!
Biar kami buat kerja!” arah Normala tanpa menoleh. Tangannya masih erat memutar
stereng jeep.
“Tak apa. Jangan
risau. Nak mati pun kat mana-mana,” jawab Datuk Rauzah.
Normala mencebir
mendengarnya. Tidak suka dengan jawapan wanita yang dianggap degil tak kena masa.
Namun, dia tidak boleh memaksa. Dia harus fokus. Fokus kepada pemanduannya.
“Saya tahu jalan
kat sini!” pekik Datuk Rauzah kerana bunyi enjin kenderaan dan kipas helikopter
menenggelamkan suaranya. “Lepas lalu
bukit kat depan tu, ada jalan lama. Itu jalan pintas. Kita boleh cepat sampai
ke Baraawe.”
Fariz menyasarkan rifelnya. Lalu melepaskan tembakan. Tidak mengena kerana
ketika das dilepaskan, jeep terlambung bila terlanggar batu. Fariz menembak
lagi. Tersasar lagi kerana kenderaannya membelok pula. Hampir-hampir Fariz terduduk.
“Mala! Aku susah nak tembaklah. Bawaklah
pelan, sikit!” pekik Fariz.
“Woi! Engkau ingat aku bawak bas
pelancong, ke?” jawab Normala.
“Aku tak kira kau bawak apa. Bagilah
aku can nak tembak, ni!”
“Okey! Okeyyyyyyy!”
Normala menekan brek. Brek mati! Mereka
semua terpekik. Jeffri hampir tersembam ke cermin hadapan. Datuk Rauzah sempat
menahan tubuhnya daripada terhumban ke hadapan dengan menggenggam kerusinya.
Fariz pula hampir terjatuh. Mujurlah lengannya kejap memaut palang yang
melintangi kenderaan.
“Woi! Kau gila, ke?” jerit Fariz
bila terpandang kenderaan pacuan empat roda semakin menghampiri. Dia nampak kenderaan
itu menekan brek. Wajah pemandunya yang panik semakin jelas kelihatan bila
kenderaan itu kian menghampiri.
Dalam beberapa saat lagi, kenderaan
itu akan menghentam jeep. Fariz sudah bersedia untuk melompat keluar
menyelamatkan diri bila dia terhenyak ke kiri kenderaan. Rupa-rupanya Normala
menggerakkan kenderaan dan membuat pusingan-u. Asap debu terus berterbangan. Menjadikan
ia smoke screen yang mengkaburkan pandangan di antara jeep dan kenderaan musuh.
“Fariz! Cepat! Aku cover!” pekik Normala seraya melepaskan
tembakan bertalu-talu ke arah kenderaan musuh dengan pistolnya. Tangan kirinya
masih kejap memegang stereng.
Percikan peluru musuh turut menghujani
jeep. Fariz duduk bertinggung. Dia tercium peluang. Baru dia sedar mengapa
Normala bertindak begitu. Dalam masa tiga saat, jeep akan berselisih dengan
kenderaan musuh. Fariz mesti mengambil peluang itu.
Jangkaannya tepat. Sebaik sahaja kedua-dua
kenderaan itu berselisih, Fariz melepaskan berdas-das tembakan ke arah tangki
kenderaan itu. Serta-merta api menyambar. Sisi kenderaan musuh mula terbakar. Empat
orang musuh kelihatan melompat keluar daripada kenderaan sebelum ia meletup.
“Alhamdulilah!” kata Fariz.
“Ya, ALLAH!” pekik Normala pula.
Jeep diputar segera ke kiri. Membuat
ia bergerak mengiring. Persis dalam aksi drag. Sempat mengelak sebuah lagi
kenderaan musuh yang mengekori kenderaan pertama yang meletup itu. Kenderaan musuh
mula mengubah haluan. Membuat pusingan-u juga untuk mengejar mereka.
Normala menekan minyak. Memecut untuk
meninggalkan kenderaan musuh. Namun kuasa kuda kenderaan musuh itu lebih besar.
Seketika sahaja ia sudah menghampiri. Desiran peluru kedengaran melintasi di
kiri kanan kenderaan. Normala terpaksa memutar stereng ke kiri dan kanan untuk
mengelak.
“Wow, wow!” Fariz memberi amaran.
Masing-masing sempat tertoleh dan nampak
musuh mula memikul bazooka. Satu das peluru bazooka akan menghancurkan mereka
semua.
“Dia tak akan tembak! Jangan risau!
Dia orang hendak saya!” ujar Datuk Rauzah.
Dia cuba menenangkan mereka. Benar juga
katanya. Pihak musuh yang menculik Datuk Rauzah pasti mahukan wanita itu
hidup-hidup. Dia adalah aset yang ingin
direbut dalam percaturan ini. Namun…
‘Vooooooooooom’
Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...
Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...
wow..x sabo tunggu sambungan ni,huhuhu...
ReplyDeleteHehe... tataplah sambungannya!
ReplyDeletebila mahu dibukukan tuan?
ReplyDelete