Photo credit: elbuenoelfeo.wordpress
“HEI orang tua! Mana kau pergi?” soal Abdool sebaik sahaja Jeffri muncul.
Jabril adalah nama samaran yang Jeffri berikan kepada Abdool, ketua anggota Bad Holac.
Dengan
selamba, Jeffri menghampiri lelaki yang sedang menulis sesuatu di mejanya. Dia
mengorak senyuman. Kemudian tersengih-sengih.
“Aku
jalan-jalan!”
Abdool
mengangkat kepala. Memandang tepat ke arah Jeffri. Mulutnya berkerinyut.
Kemudian dia tunduk dan menulis kembali.
“Kamu
kena hati-hati, Jabril…”
Jeffri
memandangnya sambil menahan senyuman. Hendak tergelak kerana Abdool perihatin
dengan keadaannya. Sangkanya, lelaki itu jenis yang tidak pedulikan orang
bawahannya.
“Jangan
cari penyakit. Kalau terkena… susah. Kalau kau nak tau, adik aku mati kerana
AIDS!”
Mata
Jeffri mencerlang. Tidak menyangka ke situ pula agakan Abdool kerana
kehilangannya.
“Aku
tak ke tempat macam itu…”
Abdool
tersenyum. Jeffri tahu, itu senyuman tidak percayanya Abdool kepada jawapannya.
“Baguslah
kalau kau tak ke tempat macam itu. Pergilah bersolat. Kita nak berangkat petang
ini.”
“Ke
mana?” Jeffri memancing soalan.
“Ganezuela!”
jawab Abdool tanpa mengangkat kepalanya.
“Ganezuela?”
“Hmm.”
Jeffri bergegas keluar menuju ke sebuah bilik kecil di
bahagian belakang pejabat itu. Di sana, ada sebuah pili kecil untuk mengambil
wuduk. Usai mengangkat wuduk, Jeffri menyelinap masuk ke bilik kecil itu.
Sebelum mengangkat takbir, dia mengirim maklumat terkini kepada ibubejabat
BISIK yang tidak jauh dari tempatnya berada.
SEBENTAR tadi Fariz nampak Jeffri membelok ke sebelah
kiri sebaik sahaja dia memasuki ruang utama rumah ini. Lantas dia membelok ke
sebelah kanan. Sengaja tidak mahu mengekori jejak ejen itu. Di situ ada tangga
yang menurun ke bawah.
‘Bawah tanah…’ kata hati Fariz.
Tatkala menuruni, dia terhenti seketika bila
pandangannya menjadi gelap. Langkahnya diperlahankan agar matanya dapat disesuaikan
dengan suasana suram itu. Permukaan anak-anak tangga itu terasa lembut kerana dibentuk
daripada tanah. Hidung Fariz berkerinyut bila bau tengik tanah merah mula menyesak
hidungnya. Peluh mula merembes ke tengkuknya.
Fariz sampai ke pintu kayu yang tiada bertombol.
Perlahan-lahan dia menolaknya. Keadaan di dalam semakin gelap. Hanya ada lampu
kalimantang di hujung lorong yang terkelip-kelip. Bagai lampu di disko. Membuatkan
pandangannya sedikit berpinar.
Fariz nampak sebuah lagi daun pintu di penghujung
lorong. Dia memerhati ke arah lelangit tempat dia berdiri. Tercari-cari
kalau-kalau terdapat kamera CCTV di mana-mana.
Matanya
dipicingkan bila ternampak sesuatu yang berkilat kira-kira lima depa di
hadapannya. Fikirannya berlari-lari untuk mentafsir apa yang dipandangnya.
Benda itu bergerak sedikit. Fariz mematikan langkah lalu mengepilkan dirinya ke
dinding.
‘Oh,
kepala orang! Orang botak! Patut pun, berkilat!’ gumam Fariz seraya tersenyum.
Tiada
jalan untuk berpatah balik. Tiada jalan melainkan melintasi musuh di
hadapannya. Biar apa yang terjadi, dia mesti melepasi halangan itu. Sambil itu,
Fariz terus mengamati. Namun hatinya tertanya-tanya apakah musuh itu sedar akan
kehadirannya? Dengan berhati-hati, dia menyusur menghampiri. Fariz menghela
nafas lega bila nampak musuhnya dengan lebih jelas.
‘Dia
tertidur rupanya…’
Kalau dia berhati-hati, dia akan dapat
melepasi halangan itu. Bila dia melintasi tempat lelaki itu duduk, dia boleh
menyelinap ke pintu yang satu lagi kerana jarak lelaki itu dengan tembok di
hadapannya lebih kurang sedepa. Cukup ruang untuk Fariz melepasi lelaki itu.
Lelaki
yang duduk di bangku itu sedang tersengguk-sengguk tidur sambil memeluk
tubuhnya. Selangkah demi selangkah Fariz berengsot bergerak seperti ketam bila
berdepan dengan lelaki pengawal itu.
Sebaik sahaja melepasinya, Fariz terus terjengkit-jengkit
dengan lebih pantas. Tidak menyedari yang lelaki itu membuka mata, lantas
menjeling ke arahnya. Mata lelaki itu terbuntang pula. Baru tersedar ada
seseorang yang baru sahaja melepasi kawalannya! Lantas dia berdiri…
FARIZ terdengar desiran angin dari arah belakangnya.
Dia menunduk dan nampak bangku melayang melintasi kepalanya. Bangku itu
menghentam pintu. Berdegum bunyinya. Fikirannya segera mentafsir bahaya yang
mendatang. Belum sempat dia menoleh, Fariz terasa kedua-dua kakinya ditarik
oleh musuhnya. Dia tertiarap. Fariz cuba menahan tarikan itu dengan mencakar
lantai.
Tubuhnya
tiba-tiba terangkat dan dibanting ke tembok sebelah kanan. Dengan sekuat tenaga
Fariz menghalang kepalanya terhantuk dengan lengannya. Rasa bisa menyentap dan
menyelinap hingga ke sikunya. Sekali lagi tubuhnya dibanting pula ke sebelah
kiri. Sekali lagi Fariz menahan.
Impak
itu membuatkan pegangan lelaki itu ke pergelangan kakinya sedikit longgar.
Fariz segera menendang ke belakang.
“Urghhh…”
Kedengaran erangan musuhnya. Tendangan Fariz menepati
tubuh musuhnya. Kakinya tiba-tiba terasa bebas. Fariz segera berpaling dan
melompat untuk berdiri. Bersedia untuk menyerap serangan. Mata Fariz mencerlang
sebaik sahaja terpandang tubuh musuhnya.
Lelaki itu tidak berbaju. Dari kilatan cahaya lampu
yang terkelip-kelip, Fariz nampak lelaki itu berjambang. Tubuhnya besar.
Parasnya melebihi ketinggian Fariz. Malah hanya separas dada lelaki itu.
Fariz menelan liur. Memikirkan cara paling ampuh untuk
bertentang dengan musuhnya itu. Dia tiada idea pada saat itu. Lelaki itu
melangkah menghampiri. Dengusan nafasnya kedengaran semakin kuat. Lampu
kalimantang masih terkelip-kelip. Cahaya itu semakin mempinar mata Fariz…
Bersambung lagi, insya-ALLAH...
Terima kasih tuan. Entri ni membuatkan saya terasa semakin nak tahu apa akan jadi pada Fariz. Memang curahan idea tuan ni gempak. Ganbatte, ne! Eyman Haikal-san.
ReplyDeleteSama-sama, tuan. Terima kasih kerana memberi kata-kata semangat begitu! :)
ReplyDelete