Photo credit: dailymail.co.uk
Pejabat Operasi Gruesome
Group, Hermoza Ciudad, Ganezuela
DI SEPANJANG perjalanan pulang ke pejabat operasi Gruesome Group, Fariz disepak dan diterajang. Ada ketikanya tengkuknya dihempuk dengan bontot senapang. Ada masanya belakang tubuhnya diterjah dengan but mereka yang mengheretnya.
Setiap kali
diapa-apakan, Fariz akan mengaduh. Dia tahu, jika dia cuba menunjuk gagah,
hentaman ke tubuhnya akan bertambah. Untuk mengurangkan deraan, Fariz terpaksa
berlakon dengan mengadoi dan mengerang kesakitan.
Helahnya menjadi.
Setiap kali dia berpura-pura mengeluh sakit, mereka yang menderanya akan
tersenyum puas. Pukulan yang diterimanya pun tidak sekuat apabila dia menunjuk
gagah dengan berdiam diri dan menahan sakit.
Dalam pada itu
Fariz sedar, ada tiga orang anggota Gruesome Group yang membawanya pulang ke
pejabat operasi. Dalam Ops Sambar, ini kali kedua dia ditawan. Kali pertama,
dia terlepas bila dibantu Jeffri. Kali ini, dia terpaksa bertindak sendiri
kerana tahu, Jeffri berada jauh membawa Datuk Rauzah ke pasukan penyelamat.
Fariz mengingati
pelajaran apa akan dihadapinya sebagai seorang tawanan. Bila ditangkap, dia
akan dikurung. Sebentar lagi akan datang seorang ketua. Dia akan menyoal dan
menyiksa. Selagi jawapan tidak diterima, dia akan didera. Si ketua yang penat
kemudiannya akan menyerahkan tugas itu kepada seorang pendera untuk meneruskan
siksaan.
Makan dan minum tidak akan diberi. Kalau pun ada airnya,
ia hanya dicurah agar dia tidak pengsan atau mati. Siksaan akan berterusan. Dia
akan dibelasah separuh nyawa. Dalam keadaan keletihan, dia akan disoal dan
disoal.
Saat fikiran sudah mamai, fokus mula hilang, ingatan
bersimpang-siur, ketika itulah dia tidak akan tahu apa yang akan dituturkan.
Secara tidak sedar, rahsia akan terburai begitu sahaja. Sebaik sahaja maklumat
diperolehi, dia akan dibunuh tanpa belas kasihan.
Bila mengingatkan itu, Fariz bingkas bangun! Dia
menyedut nafas dalam-dalam. Dia mesti mempersiapkan diri menghadapi siksaan
yang mendatang. Dia tidak boleh lemah. Semangat mesti kuat.
Kali ini, kalau pun dia tidak melawan, siksaan yang kian
berat akan dihadapi agar rahsia mudah terbongkar. Andainya dia melawan dalam
keadaan terikat, tenaganya akan cepat hilang.
Jadi? Jadi, dia mesti cari jalan untuk keluar dari bilik
ini. Bagaimana? Fariz memerhati ke sekeliling. Tidak ada apa-apa di bilik ini.
Hanya tembok batu. Tiada tempat tidur. Hanya simen. Yang ada hanyalah jamban
duduk. Sememangnya bilik ini berupa lokap. Tempat mereka yang ditawan untuk
diinterogasi.
Fariz mendongak sambil memutar tubuhnya 360 darjah. Siling
lokap ini juga batu. Di satu sudut ada lubang-lubang kecil untuk udara.
Daripada situlah datangnya cahaya suram yang terbias ke lokap ini. Cukup
sekadar dia gunakan untuk melihat dirinya.
Dia melangkah ke pintu. Daunnya diketuk perlahan. Bunyinya
padat. Tentunya pintu ini berat. Dia menjengket untuk memerhati ke tingkap
kecil di daun pintu itu. Ia terkatup dan diselak dari luar. Fariz tidak nampak
apa-apa.
Fariz mendengus kecil. Buat masa ini fikirannya buntu.
Tiada idea hendak melakukan apa-apa kecuali menanti dirinya dibawa keluar lokap.
Itulah satu-satunya peluang untuknya membebaskan diri. Selagi dia berada di
bilik ini, peluangnya untuk lari memang mustahil.
Perlahan-lahan Fariz melangkah ke dinding. Perlahan-lahan
juga dia menggelongsorkan dirinya hingga duduk terlunjur. Matanya dipejam.
Fikirannya dikosongkan. Perlahan-lahan juga dia teringat sesuatu lalu
menyebutnya…
‘La Hawla Wala Quwwata Illa Billah…’ Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan pertolongan ALLAH…’
Zikir ini diulang-ulang hingga terasa jantungnya berdegup.
Fariz memfokuskan fikirannya pada zikir ini hingga
denyut nadi di kepalanya terasa. Kemudian nadi di pergelangan tangannya dan di
kaki hingga terasa seluruh tubuhnya bertingkah dengan zikir ini.
Hatinya kini terasa tenang. Fikirannya kini terasa
ringan. Setelah beberapa ketika, fikirannya melayang dan dia terus terlelap.
PERDANA Menteri mempersilakan delegasi dari Petromal masuk ke pejabatnya. Kedua-dua Pengerusi Petromal, Tan Sri Irsham Arshad dan Presidennya Tan Sri Hazibudeen Thajudeen kelihatan begitu gembira. Wajah mereka kelihatan berseri-seri.
Mereka berkunjung
ke JPM kerana ingin mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri kerana telah
merencana Ops Sambar dengan jayanya. Sebagai orang kuat Petromal, mereka berasa
terhutang budi kepada kerajaan Malaysia.
“Terima kasih,
Datuk kerana bersusah payah membantu kami,” ujar Tan Sri Irsham sebaik sahaja
melabuhkan punggungnya.
“Tahniah kepada
semua yang terlibat dalam Ops Sambar,” celah Tan Sri Hazibudeen pula.
Perdana Menteri
kelihatan tersenyum dan terangguk-angguk. “Alhamdulilah. Itu memang sudah
menjadi komitmen saya untuk melindungi setiap nyawa rakyat Malaysia walau di
mana mereka berada di muka bumi ini,” jawab PM.
“Bila Datuk Rauzah
sampai, Datuk?” tanya Tan Sri Irsham.
“Petang esok… di
KLIA,” ujar PM.
Perdana Menteri
tertoleh bila Setiausaha Akhbar yang sejak tadi berSMS di hujung bilik
menghampirinya secara tergesa-gesa. Dia membisikkan sesuatu. Wajah PM bertukar
serius. Kemudian dia terangguk-angguk lalu memberi isyarat kepada Setiausaha
Akhbarnya untuk membuka televisyen.
“Tan Sri, Tan Sri…”
kata PM.
Kedua-dua pegawai
tinggi Petromal itu memandang PM dengan penuh perhatian. Masing-masing tampak
teruja kerana ingin tahu perkara yang hendak disampaikan oleh PM.
“Nampaknya kita ada
cabaran baru. Cabaran dari Amerika…”
Sejurus PM berkata,
skrin TV pun terpasang. Wajah seorang pembaca berita saluran World LiveLine pun terpapar.
Wajahnya masam mencuka. Dia sedang bersedia hendak memberi suatu berita penting.
Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...
Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...