Photo credit: creativeuncut.com
SETELAH menukar uniform kedua-dua pengawal itu dengan pakaian mereka, Fariz dan Jeffri membaringkan kedua-duanya bersebelahan. Tubuh mereka diletakkan mengiring membelakangkan CCTV, seolah-olah pengawal-pengawal itu sedang tidur untuk mengaburi musuh seolah-olah yang tidur itu adalah mereka.
Dengan pantas Fariz dan
Jeffri keluar dari sel. Seketika sahaja mereka sudah berada di kawasan semak di
sebelah parkir kenderaan. Sebuah lori menghantar makanan kelihatan baru keluar
daripada bangunan kantin. Sebaik sahaja lori itu melewati mereka, Fariz dan
Jeffri segera mengejar dan melompat ke ruang simpanan barang di bahagian
belakang lori itu.
Lima kilometer perjalanan,
tatkala lori itu mendaki bukit, Fariz dan Jeffri mengambil kesempatan untuk
terjun. Mereka segera bergerak dan menyusup ke dalam kawasan semak menuju ke
hutan. Fariz berhenti berjalan lalu mengeluarkan alat komunikasi yang tersisip
di bahunya.
“Nanti dulu…” Jeffri
melarang.
“Alat ini gunakan sistem MAGNAS, bang. Malaysian Global Navigation System! Musuh
tak dapat kesan dengan sistem ini… Abang tak ingat, ke?” kata Fariz.
Betapa pun, Fariz tak jadi
menekan punat untuk menghubungi BISIK. Mungkin Jeffri ada sebab lain mengapa
tidak mahu dia berbuat begitu. Namun,
dia masih tertanya di hati mengapa Jeffri melarangnya.
“Kalau kita hubungi BISIK
sekarang, mereka akan beri arahan baru. Sekarang, kita ada tugas yang belum
selesai. Biar kita selesaikan tugas tu dulu baru kita hubungi BISIK.”
“Tugas apa?” tanya Fariz
seraya melangkah mengekori Jeffri.
Jeffri tidak menyahut. Sebaliknya dia bergerak semakin jauh ke dalam hutan. Memaksa Fariz mengekorinya.
Jeffri tidak menyahut. Sebaliknya dia bergerak semakin jauh ke dalam hutan. Memaksa Fariz mengekorinya.
DARI jauh, bunyi air terjun kedengaran mendesah. Suasana semakin dingin bila rintik-rintik airnya merenjis ke muka. Fariz menyapu wajahnya. Dari celah-celah dedaunan dia nampak air terjun meluncur laju dari ketinggian 20 meter. Fariz menguak dedaunan untuk menyaksikan kecantikan ciptaan Ilahi.
Tiba-tiba
dia tersedar Jeffri sudah pun melangkah batu-batu untuk ke kawasan jeram yang
mengunjur menjadi sungai yang mengalir laju. Walaupun masih tidak tahu mengapa
Jeffri bergerak ke mari, namun Fariz hanya mengikuti.
Sepuluh
minit melangkah mereka tiba ke kawasan sungai yang agak luas selebar lebuhraya
enam lorong. Airnya dingin dan jernih. Fariz melangkah pantas bila melihat
Jeffri terbongkok-bongkok mengangkat
sesuatu. Fariz menghampiri.
Alangkah terkejut bila
melihat Jeffri sedang mengangkat mayat. Mayat anggota PASKAL yang lengkap
beruniform.
“Ini mayat anggota Ops Sambar!” Fariz mengagak.
“Ini mayat anggota Ops Sambar!” Fariz mengagak.
“Hmm,” jawab Jeffri ringkas.
“Mari kita uruskan. Kita cari yang lain. Ada empat lagi mayat…”
Tanpa berkata lagi
kedua-duanya meredah semak samun. Jeffri yang melihat kejadian pembunuhan itu
semalam dengan mudah dapat mengesan lokasi mayat-mayat itu. Mereka berdua
mengusung mayat-mayat itu ke sebuah kawasan lapang dan menyusunnya
bersebelahan.
Fariz meletakkan kesemua jenazah
itu melintangi kiblat dengan kepalanya di sebelah kiri. Kemudian dia melangkah
ke sungai berdekatan dengan Jeffri untuk mengambil wuduk.
DOA Jeffri pada senja itu agak panjang. Suaranya amat perlahan, bergumam dan berbisik dengan penuh khusyuk memohon kehadrat Illahi agar diampunkan dosa mereka. Fariz yang mengaminkan doa itu turut berasa sayu dengan nasib yang menimpa perajurit yang gugur di medan juang.
‘Mereka menemui ALLAH SWT
dalam sebuah misi menyelamatkan seorang warganegara yang berada dalam bahaya.
Mereka gugur tatkala berjuang mempertahankan maruah negara. Semoga mereka
syahid dunia. Semoga mereka juga syahid di akhirat nanti,’ detik hati Fariz.
Sesungguhnya mereka yang
mati syahid tidak perlu dikafankan. Memadai mengkebumikan mayatnya lengkap
dengan pakaian tatkala menemui maut. Biar berdarah sekali pun adalah tidak
mengapa. Mereka juga tidak wajib disembahyangkan. Namun, jika ingin
disembahyangkan, ia tidak mengapa.
“Aku dah jumpa liang untuk kebumi jenazah-jenazah
tu,” kata Jeffri ketika mereka bersalaman setelah menyempurnakan solat jenazah.
“MASYA-ALLAH…” seru Fariz sebaik sahaja dia melangkah menghampiri kawasan yang dimaksudkan.
Fariz
melihat sebuah liang yang luasnya cukup untuk memuatkan lima jenazah. Dalamnya
pun hampir menghapus kepalanya. Di dalam hutan, di kawasan tepian sungai,
keadaan topografi di situ tidak memungkin terdapatnya sebuah lubang sebesar dan
sedalam itu. Seolah-olah, ALLAH telahpun menyediakan sebuah liang untuk mereka.
Dengan
perlahan, satu demi satu jenazah itu dibawa dan dimasukkan ke dalam liang. Kesemuanya
diletakkan mengiring menghadap kiblat dan sebelah menyebelah. Yang memisahkan di antara jenazah-jenazah itu
hanyalah batang-batang kayu.
Usai
menyudahkan kerja itu, Fariz dan Jeffri mengumpul batu-batu dari kawasan
sungai. Kemudian batu-batu itu dimasukkan ke dalam liang hingga menutupi
jenazah-jenazah itu. Kemudian kayu-kayu besar ditimpakan ke atas batu-batu itu.
Sekali lagi sebelum
berangkat, kedua-duanya menadah tangan sambil berdoa. Memohon ke hadrat Illahi
agar roh mereka yang gugur di dalam pertempuran Ops Sambar dihimpunkan bersama
mereka yang syahid. Amin.
Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...
Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...
No comments:
Post a Comment