Photo credit: carikedai.my
A
Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya
4.00 PETANG. Semua
videocam sudah terpacak di tripod masing-masing. Kamera saluran-saluran
televisyen utama Malaysia, RTM, Bernama TV, Astro Awani, TV Hijrah dan TV3
sudah diatur menghadap ke arah sebuah rostrum di bilik pejabat Perdana Menteri
Malaysia.
Sambil menanti rakaman khas dari PM, para jurukamera dan wartawan kini
bersembang sesama mereka. Perbualan masing-masing tampak serius membicarakan
apa yang akan berlangsung secara live
sebentar nanti. Namun kadangkala perbualan mereka disulami dengan gelak ketawa.
Tetapi tidak kuat dan lepas seperti mana lazimnya kerana menghormati tempat
mereka berada – di bilik pejabat Perdana Menteri.
Sekali-sekala ada di antara mereka yang tertoleh ke pintu masuk bilik
itu. Mengharap PM akan muncul. Kerana itu, bila pintu terkuak, masing-masing
terhenti berbual. Tetapi perbualan mereka diteruskan kembali bila orang yang
muncul bukannya PM, sebaliknya para pegawai JPM.
Seorang dua wartawan mula memandang jam dinding. Ada yang mula bertanya
kepada pegawai yang berada di bilik itu. Mereka tidak sabar lagi menunggu. Mereka
datang beramai-ramai kerana dipanggil oleh Jabatan Perdana Menteri kerana ada
pengumuman penting yang akan dibuat PM. Tetapi, di mana PM? Bila lagi PM akan
muncul? Pintu terkuak…
“Asalamualaikum…”
“Waalaikumsalaaaaam…”
Panjang jawapan para wartawan menyahut ucapan salam PM. Masing-masing
memandang lelaki tinggi dan segak yang memasuki ruang bilik ini. Mengekori
pergerakan lelaki penting Malaysia ini melangkah ke rostrum. Beberapa orang
wartawan yang hampir dengan PM menghulurkan tangan bersalaman. PM menyambutnya
dengan senyuman.
“Hensemlah PM pada petang ni!” tegur seorang wartawan wanita.
“Saya yang hensem ke baju saya yang cantik, Nora?” soal PM kembali kepada
Norazwani, wartawan Sinar Harian yang dikenalinya.
Jawapan itu disambut dengan gelak ketawa anggota media yang lain.
Masing-masing ingin menceriakan suasana. Maklumlah, sesekali bila bertemu PM di
majlis yang khas untuk anggota media, mereka tidak mungkin mahu memeningkan
kepala PM dengan pelbagai soalan yang akan menimbulkan masalah kepada pemimpin
itu. Lebih-lebih lagi di majlis yang amat penting dan bermakna pada petang ini.
“Datuk Seri nampak konfiden. Macam boleh menang, aje,” celah seorang
wartawan senior yang bermisai dan berjambang.
Kata-kata itu disambut dengan gelak ketawa lagi. PM hanya tersenyum dan
terangguk-angguk. Beliau turut ceria bila mendengar pujian itu. Di hatinya,
kata-kata wartawan itu ada benarnya. Memang dia yakin. Amat yakin dengan apa
yang bakal dilaluinya.
Wajah PM mula serius sebaik sahaja beliau berdiri di belakang rostrum.
Jurumekap yang berdiri berhampiran lekas melangkah dan menyapu wajahnya dengan
kertas tisu. Tali leher PM dikemaskannya agar elok di lensa kamera. Kamera
kesemuanya sudah terpasang untuk merakam pengumuman PM yang akan dibuat
sebentar lagi.
Jurukamera Bernama TV mengangkat tangannya. Mengembangkan kelima-lima
jarinya. Kemudian dia menguncupkan jejarinya dan membuka empat jari, kemudian… tiga
jari, dua jari dan akhirnya mengunjuk isyarat bagus menandakan PM boleh mula
berucap.
“Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Bersyukur ke hadrat Illahi kerana dapat bersama-sama pada petang ini. Saya
ingin memaklumkan kepada rakyat Malaysia bahawa pada pagi tadi saya telah
menghadap Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka baginda Yang di-Pertuan Agong bagi
menyerah warkah kepada baginda memohon perkenan supaya parlimen dibubarkan pada
hari ini, Rabu 6 Mei 2019.
Sehubungan dengan itu, selaras dengan peruntukan perlembagaan persekutuan,
baginda telah berkenan bagi parlimen ke-15 dibubarkan berkuatkuasa hari ini. Justeru
itu saya menasihat ketua-ketua kerajaan negeri berkenaan untuk menghadap ketua
menteri mereka bagi mendapat perkenan pembubaran dewan undangan negeri
masing-masing bagi pilihanraya umum dapat diselaraskan secara serentak di
seluruh negara.”
PENGUMUMAN
Perdana Menteri itu menjadi tumpuan di seluruh tanah air. Skrin-skrin TV di
jabatan-jabatan kerajaan, kafe dan kopitiam, dewan dan kantin, lapangan
terbang, stesen keretapi dan komuter, teksi dan bas serta di ruang-ruang tamu
kediaman menjadi tatapan rakyat pada ketika itu. Rakyat yang menanti pembubaran
parlimen untuk pilihanraya umum ke-15 berasa teruja kerana akhirnya Perdana
Menteri mengisytiharkan pembubaran parlimen yang akan diikuti dengan PRU-15.
Di jalan-jalanraya, kenderaan
membunyikan hon tanda gembira. Rakyat gembira kerana sekali lagi mereka
berpeluang untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat di sebuah negara
demokrasi. Pasaran saham ditutup lebih rendah kerana sentimen pasaran yang
lebih berhati-hati menjelang pilihanraya.
Di kementerian-kementerian kerajaan,
para menteri, timbalan menteri, setiausaha politik, setiausaha akhbar dan semua
petugas politik sudah mula berkemas. Mereka bersedia untuk meninggalkan bilik
dan meja masing-masing. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam.
Jika ada rezeki, mereka mungkin
kembali ke kementerian yang sama, ke kementerian yang lain ataupun angkat kaki
bila tidak diperlukan khidmat oleh Perdana Menteri selepas pilihanraya umum
kelak. Lebih malang lagi, mereka harus bersedia untuk meninggalkan jawatan
andainya pak menteri gagal sebagai calon pilihanraya.
Ini adalah di antara sepak terajang
dunia politik. Mereka yang menjawat jawatan politik sudah semestinya tahu akan realiti
ini dan bersedia untuk menerima baik dan buruk keputusan PRU akan datang dengan
hati terbuka.
Datuk Seri Perdana Menteri pun tahu
apa yang bakal dihadapinya. Demokrasi. PM akan akur dengan keputusan pilihan
rakyat. Justeru itu dia harus bersedia untuk menjulang kejayaan mahupun
berundur jika tewas dengan parti lawan. Bersedia untuk terus duduk di kerusi
pemimpin negara ataupun pemimpin pembangkang di parlimen!
Nota: Fragmen ini adalah fragmen prekuel bab-bab sebelum ini...
No comments:
Post a Comment