Photo credit: arjamal.instagram
FRAGMEN AA
Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur
Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur
3.50 PETANG. Jalan Pantai Baru menghala ke Jalan Bangsar dipenuhi
kenderaan. Keadaan semakin sesak bila sebahagian jalan ditutup untuk
kerja-kerja menyenggara tiang jejambat LRT. Kerana keadaan itu, lampu trafik
yang berfungsi pun gagal menyurai kenderaan dengan lancar. Anggota polis trafik
juga belum sampai untuk bertugas melancarkan lalulintas.
Fariz Zafar turut gelisah.
Jejarinya mengetuk-ngetuk stereng untuk mengurangkan stres. Sudah dua kali
lampu bertukar hijau dan kemudiannya merah. Namun dia tidak sempat melepasi
lampu. Mengapalah kereta BMW di depannya ini perlahan sangat?
Fariz bimbang lewat. Setengah jam tadi dia keluar dari
Damansara One membawa beg pakaian untuk ke KLIA. Oleh kerana dia baru pulang
dari operasi di Pulau Pinang pagi tadi, dia tidak sempat mengemas pakaian. Baju
kotornya dihempuk sahaja ke dalam mesin basuh. Baju bersih dari ampaian
diperuk-peruk sahaja ke dalam beg pakaiannya sebelum dia berlari menuruni
tangga. Lif? Ah, berlari lebih cepat untuk sampai ke bawah.
SEPULANGNYA dari operasi pada jam 8.00 pagi tadi, dia ke Biro
Risikan Negara untuk melapor diri, menulis laporan, mengisi borang tuntutan dan
menyerah segala peralatan perisikan ke pejabat. Walaupun dia tidak suka
kerja-kerja pejabat, dia mesti bereskan kesemuanya. Kalau tidak dia akan kena
leter.
“Kalau engkau malas
isi borang claim, akak tak nak tolong
hantar kat admin. Nanti, bila pokai sebab tak dapat duit claim, jangan buat muka seposen kat akak!”
rungut Normala Mustakim rakan sejawat dan mentornya. “Laporan tu kena siap pagi
ini jugak. Bos nak tengok. Kalau Fariz tak buat, akak yang kena bebel, tau!”
“Okeylah, okeylah
kak. Akak ni bisinglah. Orang tengah fikir nak susun ayat laporanlah ni,” jawab
Fariz dengan wajah mencuka.
“Eh? Mengarang pun tak
pandai? Masa sekolah dulu, BM dapat berapa? Ha, itulah… orang suruh kau pergi
sekolah, engkau panjat pokok pisang!”
Normala sempat
menangkap pen yang dibaling geram oleh Fariz sebelum melontarnya kembali kepada
ejen itu. Dia tahu Fariz meluat dengan leterannya. Tapi dia memang suka
menyakat ejen itu.
LAMPU bertukar hijau. Fikiran Fariz kembali ke situasi dan saat ini.
Beberapa buah motorsikal yang berada di hadapan garisan sudah bergerak. Fariz
bersedia untuk menukar gear. Menanti BMW di hadapannya memecut.
Namun kereta itu
tidak dapat bergerak kerana ada sebuah motorsikal di hadapannya. Nampak seperti
rosak bila si penunggang kelihatan beberapa kali cuba menghidupkan enjinnya. Si
pembonceng kelihatan tertoleh-toleh ke arah BMW itu.
Kedengaran bunyi
hon BMW. Kenderaan lain di belakang kereta Fariz pun menekan hon. Menzahirkan
geram. Walaupun perasaannya mula hangat, Fariz cuba bersabar. Menanti
motorsikal di hadapan BMW itu bergerak atau beralih ke tepi. Kelihatan pemandu
BMW itu keluar dari kenderaannya. Nampak tangannya terkirai-kirai memarahi
penunggang dan pembonceng motorsikal itu.
Fariz separuh
tergelak melihat gelagat orang kota. Terasa seronok bila dapat melihat orang
bertekak. Terlupa seketika yang dia juga makin lewat. Tiba-tiba Fariz terkejut
bila si pembonceng mengeluarkan pistol!
‘Tam! Tam! Tam!’
“Wo, wo, wo! Apasal engkau tembak dia?” gumam Fariz.
“Aku dah lambat ni! Korang ni ada-ada saja lah!”
Dia meraba-raba
mencari pistol di pinggangnya.
‘Alamak! Aku dah pulangkan…’ katanya di dalam hati. Fariz
teringat pistolnya telah diserahkan ke pegawai logistik sepulangnya dari
operasi pagi tadi.
Fariz membuka pintu dan lekas-lekas keluar mengejar
mereka. Tanpa mempedulikan pemandu BMW yang terhencut-hencut dan tersandar di
tiang jejambat LRT. Dalam keadaan kelam-kabut, motorsikal penjahat itu melelong
sebelum menghentam bonet lori pikap di depannya. Pada kesempatan ini, Fariz
melompat dan menerkam pembonceng motorsikal.
‘Pistol! Pistol!
Pistol!’ Fariz mengingatkan dirinya.
Tangannya segera
mengagau pistol yang tersisip di pinggang si pembonceng motorsikal. Kini pistol
itu dalam genggamannya. Berlaku pergelutan bila si pembonceng cuba merampas
pistol itu.
‘Tam!’
Tanpa teragak-agak Fariz melepaskan tembakan. Dia sempat memandang seluar lelaki itu berasap. Darah merah kelihatan meresap di bahagian lutut lelaki itu. Wajah si pembonceng motorsikal yang pada mulanya tampak garang sudah berubah panik. Fariz menendang lelaki itu. Dia jatuh terduduk. Fariz segera menghalakan pistolnya pula kepada penunggang motorsikal pula. Lelaki itu cepat-cepat mengangkat tangannya.
Tanpa teragak-agak Fariz melepaskan tembakan. Dia sempat memandang seluar lelaki itu berasap. Darah merah kelihatan meresap di bahagian lutut lelaki itu. Wajah si pembonceng motorsikal yang pada mulanya tampak garang sudah berubah panik. Fariz menendang lelaki itu. Dia jatuh terduduk. Fariz segera menghalakan pistolnya pula kepada penunggang motorsikal pula. Lelaki itu cepat-cepat mengangkat tangannya.
Walaupun lelaki itu
sudah menyerah kalah, tanpa teragak-agak Fariz melompat dan menendang muka si
penunggang motorsikal. Sengaja memberi shock
treatment. Penjenayah mesti diajar kerana mereka kurang ajar! Biar dia
bertindak sebelum dia diapa-apakan pula. Lelaki itu jatuh terlentang. Tangan kanannya
menghentak ekzos.
“Arghhhhh….” Dia
terbangun secara spontan bila tangannya terkena ekzos motorsikalnya yang panas.
Fariz mahu sahaja
menyembur tertawa melihat lelaki itu meniup lengannya. Dalam situasi yang
genting itu pun masih ada komedinya. Tetapi dia menyimpan sahaja tawanya di
dalam hati. Fariz menyasarkan pistol ke arah kedua-dua lelaki itu. Mereka
berdua mengangkat tangan. Tinggi kerana panik. Mereka tidak menjangka, kerja
mudah membunuh orang menjadi susah bila bertemu Fariz Zafar.
“Woi! Apa hal?”
Fariz menoleh.
Seorang anggota polis trafik yang bertugas mengawal lalulintas di persimpangan
itu baru tiba. Dia memarkir motorsikalnya di bawah jejambat LRT.
“Dia orang
gangster, bang! Dia baru tembak mangsa. Tahan diaorang.” ujar Fariz seraya
menyerahkan pistol kepada anggota polis itu.
Anggota PDRM itu
memandang kedua-dua penjahat itu. Kemudian pandangannya tertumpu pula pada
pemandu kereta BMW yang sudah terbaring. Dia nampak cermin kereta BMW yang
ditembusi peluru. Kesemua bukti visual itu sudah cukup untuknya bertindak. Dia
segera menghubungi ibupejabat meminta bantuan.
“Bang! Pinjam
motor, bang!”
Anggota polis itu
tertoleh. Terkejut terpandang Fariz sudah menunggang motorsikalnya. Beg pakaian
sudah tersandang di belakangnya.
“Abang pakailah
kereta saya tu. Saya bagi pinjam. Dua minggu!”
“Woi!” laung polis itu. Memandang Fariz yang mula
menjauh.
“Ambil motor abang
ni kat KLSentral! Saya dah lambat ni! Nak pergi umrah!” jerit Fariz,
meninggalkan anggota PDRM itu dalam keadaan bingung.
Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...
No comments:
Post a Comment