Photo credit: nordin.kembali.net
FRAGMEN AB
KLIA, Sepang, Selangor
SETIBANYA di
kawasan menurunkan penumpang di bahagian berlepas, Fariz terus berlari ke
dalam. Tidak mempedulikan orang ramai sedang berkerumun dan melangut menonton
siaran secara langsung pengumuman hasrat kerajaan mengadakan PRU-15 di merata
sudut yang terpasang televisyen.
Di layar mindanya hanya terpapar wajah-wajah yang menantinya. Dia tidak
senang jika Faryna membebel kerana kelewatannya. Dia risau andainya ibubapa
Faryna, Tan Sri Daud atau Puan Sri Salwa
menganggap dia ambil mudah ibadah umrah yang bakal dijalani.
Dan dia pula terlalu bimbang kalau Nek Tijah berasa susah hati kerana
kelewatannya itu. Biarlah kalau Faryna hendak marah. Biarlah kalau Tan Sri Daud
hendak berdehem atau Puan Sri Salwa menjelingnya. Tetapi dia tak sanggup kalau
terpandang Nek Tijah duduk termenung dan menangis kerana bimbangkannya.
Itulah satu-satunya wanita yang amat disayanginya. Dialah wanita yang
membesarkannya sejak kehilangan ibubapanya dalam peristiwa kebakaran di kampung
halamannya. Dengan Nek Tijahlah dia bermanja; tempat dia mendapat kasih sayang
dari kecil hingga dewasa. Kerana itu, dia wajib membalas jasa neneknya itu.
Jika sedari kecil, segala keinginannya dipenuhi, kini tiba gilirannya pula
membalas budi.
Bila Nek Tijah menyuarakan hasratnya untuk mengerjakan umrah kepada
Fariz, dia terus bersetuju untuk menemani neneknya. Malah dua bulan lalu dia
sudah memohon cuti. Tetapi kerja, tetap kerja. Apatah lagi bila bertugas
sebagai ejen perisik dengan Biro Risikan Negara.
Dia tahu dia akan dipanggil bertugas pada bila-bila masa. 24-7. Kerana
itu, sebaik sahaja dia ditugaskan untuk memantau gerak-geri Mr. Drago, seorang
penjenayah Itali yang transit di Lapangan Terbang Bayan Lepas petang semalam,
dia perlu patuh. Mujurlah penjenayah itu tidak membuat apa-apa hubungan dengan
sesiapa di negara ini. Jika tidak, kerjanya tidak selesai secepat ini.
“ABANG tau tak yang abang dah lambat?”
Fariz melangkah
lambat-lambat. Seperti murid bersalah yang bakal dimarahi cikgu. Pandangannya hanya
tertekur ke lantai ketika dia meletakkan beg pakaiannya. Dia tahu dia lewat. Tetapi dia tidak berasa
bersalah kerana bukan dia sengaja datang lambat.
Ada aral yang melintang. Tetapi dia tidak perlu menceritakan apa yang
dilalui dalam operasinya semalam di Pulau Pinang dan juga di persimpangan Jalan
Bangsar-Jalan Maarof sebentar tadi.
“Kasihan Nek Tijah. Dia tunggu lama,
tau? Nasib baik papa dan mama ada. Dia orang bawak Nek Tijah pergi minum. Abang
tak boleh buat kita orang semua tertunggu-tunggu. Kalau lewat, abang kena
beritahu Ryna. Ryna risau sangat, tau? Abang tak boleh ambil mudah soal umrah
ni. Ini bukannya pergi melancong, tapi pergi beribadat.”
Fariz hanya membatu. Dia akui apa
yang Faryna katakan itu benar. Dia tahu dia telah merisaukan semua orang. Namun,
dia terlupa untuk memaklumkan Faryna di atas kelewatannya agar tunangannya itu
tidak bimbang. Dia faham yang dia akan melaksanakan umrah. Bukannya pergi
jalan-jalan untuk melancong. Bagaimana pun, dia tahu jika dia mendiamkan diri,
akhirnya Faryna akan berhenti berleter. Untuk sekian kalinya, dia akan gunakan
taktik yang sama. Diam membatu!
“Abang…” suara Faryna yang meninggi
sebentar tadi sudah mengendur pula.
‘Hehehe. Aku dah agak, dah… Dia
mesti suspens bila aku diam…’ detik hati Fariz.
Fariz tersenyum di dalam hati. Dia tahu Faryna mula gelisah bila dia
tidak menyahut bebelannya. Gadis itu akan bimbang kalau-kalau kata-katanya itu
melukakan hati Fariz. Buktinya… suara Faryna kini sudah lembut kerana khuatir
kata-katanya sebentar tadi menyinggung perasaannya. Fariz tidak berasa hati
pun. Dia hanya membisu kerana dia tahu jika dia diam, Faryna akan berhenti
berleter.
Sambil menyembunyikan senyuman,
Fariz berpaling dan menapak pergi. Sengaja tidak mahu menatap wajah kekasih hati
kerana hendak menyakat Faryna. Dia suka si pujaan hatinya itu berwajah bimbang
kerana wajah sebegitu amat manis pada pandangannya.
“Abang…” Faryna menyeru lagi
namanya. Ada getaran dalam suaranya itu. “Abang! Abang nak pergi mana pulak,
tu?”
“Nak ke surau sekejap. Solat sunat
musafir,” jawab Fariz seraya berlalu.
“Check-in
dulu! Nanti takut tak sempat!” laung Faryna.
Fariz hanya menyahut dengan
mengangguk.
KADANGKALA,
kelewatan itu menjanjikan kecepatan. Agaknya apabila ramai yang sudah check-in, Fariz menjadi orang ketiga di
dalam barisan. Dalam masa 10 minit, dia sudah selesai check-in. Sambil melangkah, dia nampak Nek Tijah bersama Tan Sri
Daud dan Puan Sri Salwa minum-minum di sebuah kafe.
Dan dia nampak Faryna sudah ada di situ. Mungkinkah tunangannya itu
sedang memperkatakan tentang dirinya?
Dari gerak geri Faryna yang tampak serius dan tercebir, Fariz mengagak
dirinya sedang menjadi umpatan. Sambil tersenyum, Fariz bergegas ke bilik solat.
Baharu sahaja Fariz menghampiri pintu surau, tubuhnya dilanggar
seseorang. Badannya terpusing 90 darjah! Mujur, kesiapsiagaannya itu
membolehkan Fariz mengimbangi tubuhnya. Dia terdengar bunyi berdebuk. Fariz
menoleh. Orang yang melanggarnya jatuh tertiarap.
Kacamata hitamnya terpelanting jauh ke depan. Lelaki itu cepat-cepat
bangkit. Dia membetulkan kot. Lantas menoleh dan berdiri. Mata mereka
bertembung. Fariz terkejut.
‘Mat salih! Macam kenal dia ni!’ detik hati Fariz.
Memorinya berputar laju cuba mengingati siapakah lelaki mat salih ini.
Wajah-wajah manusia kulit putih bersimpang-siur di layar mindanya. Fariz tahu
dia pernah nampak orang ini. Wajah manusia di hadapannya ini seperti baru
sahaja dia lihat dalam sehari dua ini. Tetapi di mana?
‘Ya, ALLAH! Mr. Drago!’ kata hatinya mengesahkan.
Inilah penjenayah Itali yang dipantaunya di Lapangan Terbang Bayan Lepas
semalam. Dia ingat lagi lelaki ini hanya duduk menanti penerbangan seterusnya
dengan pesawat Air India.
Di atas permintaan Interpol, Biro Risikan Negara hanya perlu memantau
lelaki ini dan tidak menangkapnya. Mungkin sekali dia akan ditahan Interpol di
negara lain bersama bukti-bukti angkara jenayahnya. Tetapi, mengapa lelaki ini
berada di sini?
“Are you alright, sir? Are you
hurt?” Fariz menghampiri penjenayah itu. Berpura-pura seolah-olah did tidak mengenali lelaki itu.
Fariz nampak Mr. Drago menyeluk sesuatu di dalam poket kot sambil matanya
tidak lepas daripada memandang Fariz. Fariz dapat meneka apa yang ingin dicapai
lelaki itu.
“It is okay, sir! If you are not
hurt, I just want to pray! I am in a hurry!” kata Fariz dengan penuh
senyuman seraya mengunjuk papan tanda bilik solat yang terlekat di pintu surau.
Dengan penuh tawakkal, Fariz lekas-lekas memutar tombol pintu surau dan
masuk ke dalam. Dari belakang pintu, Fariz memasang telinga. Kedengaran bunyi
tapak kaki berlari. Dia tahu itu bunyi tapak kaki pihak keselamatan yang
mengejar Mr. Drago. Fariz tidak sedar bila dia melangkah keluar dari surau.
Tahu-tahu sahaja, dia sudah berlari menjejaki Mr. Drago.
Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...
No comments:
Post a Comment