Sunday, November 17, 2013

FRAGMEN AWAL GERAK GEMPAR


Photo credit: commons.wikimedia

FRAGMEN AD: GERAK GEMPAR


“ORANG bergaduh, ke?” tanya Nek Tijah.

            “Hmm… apa hal pulak, tu?” celah Tan Sri Daud.

            Mereka berempat berdiri. Masing-masing meninjau untuk melihat apa yang berlaku. Kelihatan Fariz dan Mr. Drago sedang beradu tenaga.  Saling pukul memukul.

“Mama… mama…” bisik Faryna seraya mengunjuk ke arah Fariz.
            Puan Sri Salwa menoleh. Tertanya-tanya.

“Fariz, mama,” katanya dengan suara bimbang.

“Syyy…” bisik Tan Sri Daud pula sambil melekapkan jari telunjuknya ke bibir. Matanya terjeling ke arah Nek Tijah. Dia pun sudah nampak pergelutan Fariz dengan seseorang. Semakin lama, kedua-duanya semakin menghampiri tempat mereka berada.

Tan Sri Daud mengerti, Nek Tijah tidak tahu apakah kerjaya Fariz. Kalau dia tahu, nescaya banyak omelan orang tua itu nanti kerana dia tidak mungkin faham jenis kerja yang dilakukan Fariz. Kalaulah dia nampak Fariz adalah salah seorang daripada lelaki yang sedang bergelut itu, pasti dia akan cemas.

Kini pergelutan Fariz dan Mr. Drago sudah berada kira-kira tiga meter daripada tempat mereka. Di kala ini, Fariz dapat menghayun penumbuknya hingga Mr. Drago jatuh terduduk.

“Eh, Fariz ke, tu?” tanya Nek Tijah bila ternampak kelibat cucunya itu.

“Bukaaaan….” jawab Tan Sri Daud, Puan Sri Salwa dan Faryna secara serentak.

Puan Sri Salwa lekas-lekas memaut lengan Nek Tijah. Membawa wanita itu keluar daripada kafe. Tan Sri Daud dan Faryna bergerak di belakang Nek Tijah. Sengaja begitu untuk menghalang pandangan nenek itu daripada terpandangkan Fariz.

 

FARIZ menghampiri lelaki yang cuba bangun itu. Sambil duduk terlunjur, Mr. Drago tergeleng-geleng. Kemudian termuntah kerana pening dibelasah Fariz. Kekotoran dari perutnya itu tersembur ke lantai. Orang ramai yang memerhati ada yang tertawa. Tidak kurang juga ada yang memandang jijik.

            Fariz menggamit lelaki itu dengan jari telunjuknya. Sengaja beraksi begitu sebagai perang psikologi yang dia lebih handal. Perlahan-lahan Mr. Drago bangkit dengan penuh kepayahan. Namun sebaik sahaja Fariz menghampiri, lelaki itu tiba-tiba menendang. Tepat singgah ke pipi ejen itu.

            Fariz terundur. Kepalanya pula berpinar. Dia terasa mukanya sengal bila tendangan kedua, ketiga dan keempat singgah ke pipi, dagu dan rahangnya. Dia terhoyong hayang dan jatuh terlentang. Mr. Drago terus menyerang hingga Fariz tidak sempat melawan.

            “Game is over, young boy!” kata Mr. Drago dengan pisau terhunus.  

            Ketika Fariz jatuh, dia sempat mencapai pisau yang tersisip di betisnya. Dia menghampiri Fariz. Menggamit ejen itu dengan jari telunjuknya. Sebagai symbol yang kini dia pula yang menang.

“Game over, Mr. Drago!” kedengaran jeritan nyaring seorang wanita.

‘Klik! Klik! Klik!’ kedengaran picu beberapa senjata pistol ditarik.

Penjenayah itu melepaskan pisaunya. Dengan ekor matanya, dia nampak tiga pucuk pistol sedang tersasar ke tubuhnya. Kedua-dua tangannya diangkat. Tanda permainan sudah tamat.

“Fariz… okey?” tanya wanita yang bertempik nyaring sebentar tadi.

“Okey, kak!” jawab Fariz seraya membetulkan rambutnya.

“Cepat! Pergi solat musafir! Penerbangan lagi setengah jam!”

Fariz mengangguk lemah. Memandang Normala Mustakim, rakan sejawatnya sebelum melangkah pergi.
 

Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya

PERDANA Menteri baru sahaja bangun dari duduknya. Sambil melangkah ke bilik, dia sempat menyambut salam para wartawan. Mereka kesemuanya mengucapkan selamat dan tahniah kepadanya kerana akhirnya mengumumkan pembubaran parlimen yang akan diikuti dengan pilihanraya umum ke-15.

Ada sesuatu yang diperkatakan oleh PM hingga para wakil media kesemuanya tergelak besar. Tampak sekali PM begitu yakin dengan keputusannya. Yakin juga dengan masa depan partinya yang bakal berjaya dalam pilihanraya kelak.

“Ada panggilan, Datuk Seri…” ujar Norawazni, pembantu peribadinya sebaik sahaja wajah beliau terjengul di pintu.

“Siapa?”

“John Martinez.”

Perdana Menteri tersenyum sambil melangkah ke kerusinya. Dia tahu, pengumumannya membubarkan parlimen itu kini sudah menjadi berita dunia. Kesemua kedutaan di Malaysia pun sudah mengesahkan pengumuman Malaysia itu. Tentu sekali kedutaan Amerika telah memaklumkan berita itu ke Rumah Putih. PM berdehem sekali sebelum mengangkat telefon.

“Assalamualaikum, Mr. President!”

“Waalaikumsalam, Mr. Prime Minister!”

PM menoleh ke dinding. Memandang jam. Tepat jam 5.00 petang. Ini bererti waktu sekarang ialah pukul 5.00 pagi waktu di Washington D.C.

“Hei, pukul 5.00 pagi. Sepatutnya kau tidur. Apa yang kau buat, John?”

“Menatap wajah kau di skrin TV! Apa lagi?”

Kedua-duanya tertawa serentak. Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Amerika, John Martinez adalah dua sahabat baik. Mereka berkawan sejak di zaman kampus lagi. Kedua-duanya tertawa panjang.

Kedua-dua pemimpin ini berkawan ketika sama-sama menuntut di University of Cambridge, United Kingdom dalam jurusan Kejuruteraan Kimia. Hubungan mereka terputus setelah tamat belajar, sehinggalah mereka menjadi pemimpin di negara masing-masing.

Perhubungan mereka erat kembali apabila John Martinez menghadiri Persidangan Ekonomi Islam Sedunia atau World Islamic Economic Conference iaitu WIEC di Putrajaya International Convention Centre pada tahun lalu. Di persidangan itu, John Martinez menyuarakan komitmen Amerika untuk beralih daripada sistem ekonomi konvensional ke sistem ekonomi Islam.
Dia yakin, itulah sistem yang akan menyelamatkan ekonomi dunia. Malah, dia yakin dengan Islam, agama yang dianutinya setelah bersahabat dengan Perdana Menteri Malaysia.

Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...

5 comments:

  1. Assalam. bila nk post fragmen baru? lama saya menanti.. nanti kalau novel ni dah siap publish, bagitau tau. sy dh x sabar dh nak baca ni.

    terima kasih tuan.. :) :)

    ReplyDelete
  2. Sdra... Terimakasih kerana meminati novel ini. Saya sedang menyusun kembali novel ini. Untuk kemasan yang baik, sila ke ilham karangkraf. Cabaran bagi novel ini ialah rasa tak puashati saya sendiri kerana mahukan ia lebih baik daripada Detik Debar dan Meniti Maut.

    ReplyDelete
  3. ya.. saya dah ke ilham karangkraf. macam nama saya dah pulak. Nampak lagi tersusun dan kemas. Anyway, berusahalah! Tuan boleh menghasilkan novel aksi yang lagi gempak dari Detik Debar dan Meniti Maut. :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih saudara kerana kata-kata semangat itu. Insya-ALLAH saya usahakan sebaik mungkin. Amin.

      Delete