FRAGMEN AC
SAMBIL melangkah, Fariz menghubungi BISIK. Namun panggilannya tidak
berjawab. Dia menghubungi Normala rakan sejawat dan mentornya. Hasilnya begitu
juga. Dia menekur menatap jam. Ada 50 minit sebelum berlepas. Masa semakin
suntuk. Oleh kerana rasa tanggungjawab, dia terpaksa mencari penjenayah itu
sendirian.
‘Macam mana ni? Kalau Mr. Drago terlepas… habislah,’
kata hati Fariz.
Meskipun dia tidak diberi maklumat lengkap siapakah Mr.
Drago semalam, namun status Pintas 3 yang dikategorikan untuk penjenayah Itali
itu sudah cukup menunjukkan lelaki itu amat berbahaya.
Pintas 3 adalah kod di mana subjek sasaran hanya
dikepung tetapi pergerakkannya dilorongkan agar dapat melepaskan diri. Ia
dilakukan untuk mengelak kesan yang mengakibatkan masalah lebih besar kepada
negara. Ia berbeza dengan kod Pintas 2 di mana subjek diekori dan kemudian
ditangkap atau dilarikan. Pintas 1 pula bermakna subjek dihapuskan serta merta.
‘Macam mana Mr. Drago boleh sampai ke KL ni? Sepatutnya
dia dah tinggalkan Malaysia. Kalau macam ini, kod dia boleh bertukar jadi
Pintas 2… tak mustahil, Pintas 1!’
Sambil melangkah, Fariz tertoleh-toleh mencari kalau ada
anggota BISIK atau polis yang turut mencari Mr. Drago. Dia teringat ketika
mengintip di balik pintu surau sebentar tadi, dia ada terdengar bunyi tapak
kaki berlari. Mungkin sekali Mr. Drago sedang dihambat oleh pasukan keselamatan.
Fariz teringat bagaimana penjenayah itu jatuh terjerembab setelah terlanggarnya.
Gayanya seperti dikejar. Pasti ada pihak yang cuba menangkapnya.
Kelibat lelaki berambut perang yang memakai kot menarik perhatian
Fariz. Lelaki itu sedang berdiri di sebalik sebuah notis iklan yang terletak di
hadapan sebuah kedai buku. Walaupun berada kira-kira lima meter dari arah
belakang, Fariz mengenalinya.
‘Engkau nak lari dari siapa, Mr. Drago?’ Fariz mengacu
soalan di dalam hati. Sengaja mahu menaikkan adrenalin di tubuhnya agar
berwaspada.
Fariz bersedia untuk bergelut dalam proses menahan
lelaki itu. Bila berada di tempat awam, Fariz mesti pantas dan kemas. Jika
tidak, apa sahaja boleh terjadi lebih-lebih lagi apabila musuh mempunyai
senjata. Dia menyedut nafas. Mahu mengumpul oksigen yang akan membekalkan lebih
tenaga sebelum menapak. Tetapi…
“Encik Fariz Zafar…”
Fariz menoleh.
‘Cantiknya dia…’ hati Fariz sempat berkata.
Wanita bertudung anggun yang bertubuh gempal memandangnya
sambil tersenyum. Matanya bundar. Bulu matanya lentik. Bibirnya bergincu merah
delima. Dia berdiri penuh sopan. Kedua-dua kakinya dirapatkan. Tangannya memegang
sebuah fail. Dia menelengkan kepalanya, melangut memandang Fariz seraya tersenyum
lagi dengan matanya yang berkelip-kelip.
“Dah lama saya cari Encik Fariz. Encik Fariz dah check-in?” tegur wanita itu.
“Oh…”
Mata Fariz menekur ke tudung dwi-warna kundang dan merah
jambu wanita itu. Di dada wanita itu tersemat kad tanda nama. Tertera nama ‘Melur’
di situ. Maka Fariz sedar Melur adalah petugas daripada agensi umrah.
“Saya dah check-in.
Nenek saya pun dah check-in. Sekarang
ni saya saja jalan-jalan. Lapangan terbang ini luas, ya? Penat saya berjalan. Kalau
tak biasa jalan-jalan, boleh sesat, kan?” jawab Fariz secara bermanis mulut.
Sambil itu, matanya terjeling-jeling memerhati Mr. Drago. Takut lelaki itu
lesap.
Wanita manis itu
tersenyum lagi lalu mengangguk.
“Kalau begitu, tak mengapalah. Sepuluh minit lagi, Encik
Fariz berkumpul di kawasan kaunter ‘D’ ya? Encik Fariz tahu di mana kaunter ‘D’?
Kalau tak tahu, mari saya tunjukkan,” kata Melur lalu menggamit.
“Tak apa, tak apa. Saya tahu kaunter ‘D’ tu di mana. Di antara
kaunter ‘C’ dan ‘E’ kan?” kata Fariz dengan senyuman yang dibuat-buat meskipun
hatinya mula berasa tak senang.
“Hehe. Encik Fariz ni kelakar jugak ya? Okey… saya pergi
dulu,” kata Melur dan berlalu.
Seketika sahaja dia melangkah. Lalu dia berhenti dan
menoleh. “Encik Fariz jangan lupa ambil kitab rujukan umrah dan kain ihram
hadiah dari syarikat kami, ya?”
“Okey… boleh… nanti saya ke kawasan kaunter ‘D’ di
sebelah sana tu…” jawab Fariz dengan senyuman sumbing.
Cepat-cepat Fariz menoleh. Memfokus ke tempat Mr. Drago
bersembunyi. Tetapi penjenayah itu sudah lesap. Fariz memantaukan pandangannya ke
sebelah kanan. Dia tersenyum bila terpandang musuhnya sudah melangkah ke
kawasan kafe di mana neneknya sedang minum bersama Faryna dan ibubapanya.
‘Alamak!
Mintak-mintak Nek Tijah tak nampak apa yang aku nak buat, ni!’
Tanpa berlengah lagi, Fariz melayangkan tubuhnya. Kaki kanannya
menghenyak belakang penjenayah itu. Membuatkan lelaki itu tersembam buat kali
kedua. Belum sempat Mr. Drago bangun, Fariz
merentap kot lelaki itu dari belakang.
Mengikat pergerakan tangan Mr. Drago daripada mencapai
pistolnya. Dengan sekali rentap, kot lelaki itu terlerai dari tubuhnya. Sepantas
kilat, Fariz mencapai pistol lelaki itu dan melontarnya ke dalam tong sampah.
“You… again?” kata Mr. Drago.
Lelaki itu menerkam Fariz. Kini kedua-duanya bergolek
dan bergelut di lantai. Kekalutan mereka berdua menarik perhatian orang ramai.
Ada yang menghampiri walaupun secara berani-berani takut. Tidak kurang juga
yang lari menjauhkan diri.
Di suatu ketika, Mr. Drago bangun untuk melarikan diri. Tetapi
Fariz lekas-lekas menangkap kaki lelaki itu. Untuk melepas diri, dia menggagau
kerusi dan meja. Namun pautan Fariz pada kaki lelaki itu lebih kemas. Membuatkan
dia tidak dapat beranjak meskipun cuba meronta-ronta.
Akhirnya, kerusi dan meja terseret dan terbalik.
Menggamatkan suasana. Dan menarik perhatian Nek Tijah, Tan Sri Daud, Puan Sri
Salwa dan Faryna yang duduk tidak jauh dari situ. Kesemuanya menoleh.
Dalam kedudukan tertiarap itu, Fariz nampak mereka
semuanya memerhatinya. Dia kaget. Nafasnya seperti mahu terhenti bila
terpandang Nek Tijah terbangun dari duduknya. Fariz meneguk liur kerana
tekaknya tiba-tiba kering.
‘Alamak! Macam mana kalau nenek tahu rahsia kerja aku ni?’
tanya Fariz di dalam hati.
Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...
Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...
No comments:
Post a Comment