Photo credit: takmirpenang.blogspot
Dataran Masjid Nabawi, Madinah
FARIZ terlari-lari sebaik sahaja tiba ke dataran ini. Sesampainya ke tiang tempat biasa dia menunggu Nek Tijah, Fariz mematikan langkah. Wanita itu masih tiada di situ. Fariz memandang ke sekeliling. Pandangannya singgah dari satu tiang ke satu tiang yang lain. Mengagak dan mengharap kalau-kalau Nek Tijah menantinya di salah sebuah tiang berhampiran.
Sebentar tadi,
sebaik sahaja dia pulang dari hospital, Fariz terus pulang ke bilik hotel.
Sangkanya, Nek Tijah sudah pulang. Namun, neneknya tiada. Dia bertanya dengan
rakan-rakan rombongannya. Mereka semua tidak tahu di manakah Nek Tijah.
Fariz memantaukan
pandangannya ke segenap dataran Masjid Nabawi. Akhirnya, pandangan Fariz tertancap
ke arah seorang wanita yang sedang duduk berdoa di tepi tembok.
‘Oh, dekat situ
rupanya nenek aku ni…’
Fariz melangkah
menghampiri. Lalu perlahan-lahan dia duduk di sisi wanita yang sedang khusyuk
berdoa itu. Sedikit di bahagian belakang Nek Tijah kerana tidak mahu mengganggu
konsentrasi wanita itu.
‘Kesian, nenek.
Walau pun aku tak ada kat sini tadi, dia tak panik pun tercari-cari aku. Sempat
sembahyang dan berdoa panjang lagi. Maafkan aku, nek…’ kata hati Fariz.
Pandangannya tidak
teralih langsung dari wanita itu. Bahagianya hati Fariz kerana dapat menemani
Nek Tijah menunaikan umrah. Walaupun dia sibuk dengan kerjanya, Fariz tidak
sekali-kali mahu menghampakan harapan Nek Tijah. Sebaik sahaja neneknya menyuarakan
hasrat ingin ke Mekah dua bulan lalu, Fariz terus memohon cuti untuk
bersama-sama wanita ini menunaikan ibadah ini.
Fariz
merenung neneknya yang mula merapatkan kedua-dua tapak tangan ke wajahnya. Dia
tergeleng perlahan kerana rupa-rupanya Nek Tijah masih belum habis berdoa lagi.
Walaupun kedua-dua tapak tangan Nek Tijah sudah menekup mukanya, masih ada lagi
doa yang dipohon. Entah apa lagi yang dikumat-kamitkan neneknya itu.
Bila
Nek Tijah meraup wajahnya, Fariz menghulur tangannya untuk bersalaman. Sebuah
senyuman sudah sedia di bibir sebagai hadiah untuk neneknya. Hatinya sudah
bersedia untuk mengucapkan maaf kerana membuat Nek Tijah ternanti-nanti.
‘Nek…’
Fariz
menggapai dan menggenggam tangan neneknya. Wanita itu tersentap kerana jejarinya
dipegang begitu. Lantas dia menoleh. Senyuman yang terukir di bibir Fariz
hilang tiba-tiba. Kedua-dua tangannya ditarik.
‘Astagfirullah.
Salah orang!’ kata hatinya. ‘Nasib baik makcik ni pakai sarung tangan!’
“Anak
ni, siapa?” soal wanita itu.
“Maaf…
maafkan saya. Salah orang. Saya ingat makcik, nenek saya!”
Wanita
itu menguntum senyuman. Geli hati melihat gelagat Fariz yang serba salah kerana
bersalaman dengannya.
“Tak
apa, nak. Bukannya sengaja…” kata wanita itu.
“Maafkan saya… maafkan saya…”
Dengan
wajah yang serius kerana menahan malu, Fariz bangkit lalu berundur.
Meninggalkan wanita itu yang masih tersengih-sengih mengekori langkah Fariz
dengan pandangan matanya.
FARIZ menyeluk sakunya.
Mengeluarkan fonsel lalu mendail wanita itu. Bila dengut tanda panggilan
berbunyi, Fariz melekapkan fonsel itu ke telinganya. Matanya terkelip-kelip
menanti jawapan Nek Tijah. Namun, seperti tadi, sebelum dia ke hospital menemui
Saleem, panggilannya tetap tidak berjawab.
‘Ke
mana nenek ni? Dia dah hilang ke?’
Rasa
kesal mula menyelinap di sanubari Fariz. Seharusnya dia tidak meninggalkan
neneknya begitu sahaja. Tetapi, apa pilihannya? Sebentar tadi Sudirman yang
mengajaknya ke hospital untuk menemui Saleem.
Kerana itu, dia
mesti merebut satu-satunya peluang yang ada. Dia hanya menjalankan tugas
sebagai ejen BISIK. Jika dia menolak ajakan Sudirman, tentu dia tidak dapat
menghubungi lelaki separuh abad itu. Dan tugasnya akan tergendala pula.
Lagipun, dia sudah cuba menghubungi neneknya. Bukannya sekali, malah banyak
kali. Panggilannya tidak berjawab. Kerana itu dia bertawakkal sahaja. Tapi itu
tadi. Ketika dia perlu segera mengikut Sudirman ke Al-Mouwasat Hospital. Kini?
Fariz bergegas
kembali ke hotel Durrat Fayrouz. Dia mesti pulang ke bilik hotel. Mana tahu
neneknya sudah pulang. Jika neneknya masih belum ditemui, dia perlu mencari
ketua rombongan untuk mengkhabarkan kehilangan neneknya.
Kelihatan beberapa
orang jemaah sedang bersantai dan bersembang di hadapan hotel. Fariz melangkah ke lobi. Pandangannya melilau
memerhati beberapa orang para jemaah yang sedang berehat di sofa sambil
menonton televisyen.
‘Mana nenek aku
ni?’
Fariz segera ke
pintu lif. Butangnya ditekan. Sebaik sahaja pintunya terbuka, Fariz melangkah
masuk. Namun sebelum pintu tertutup, seorang wanita menyusul.
“Tolong tekan
tingkat lima, nak…” pinta wanita itu.
“Nek!”
Itulah kata-kata
yang terpacul dari lidah Fariz.
“Nek!”
Fariz terus
merangkul tubuh neneknya lalu pipi wanita itu dicium semahu-mahunya. Nek Tijah
terkejut dan terpinga-pinga. Tidak sangka sama sekali Fariz sudah ada di
sisinya. Baginya, Fariz juga telah hilang. Dia juga tercari-cari Fariz. Luluh
hatinya bila cucu yang dinanti tak kunjung tiba. Puas dia menunggu.
Setelah dipujuk
rakan-rakan rombongan, barulah dia hendak ikut kembali ke hotel dengan perasaan
kehilangan. Kehilangan satu-satunya cucu yang amat disayanginya. Mahu sahaja
dia bermalam di dataran Masjid Nabawi hingga Fariz muncul.
“Alhamdulilah,
Paris… Alhamdulilah… Puas nenek berdoa, Paris… nenek takut sangat Paris
hilang!” lafaz Nek Tijah dengan suara yang tersekat-sekat. Dia juga mencium pipi
Fariz semahu-mahunya.
‘Ya, ALLAH…
rupanya nenek aku bukannya susah hati kerana takut sesat, tapi dia susah hati
kerana bimbang aku hilang. Dia lebih risaukan aku daripada dirinya sendiri. Ampunkan
aku, ya ALLAH kerana menyusahkan hatinya…’ detik hati Fariz.
Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH..
Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH..