Sunday, December 16, 2012

FRAGMEN 26: GERAK GEMPAR



Photo credit: guardian.co.uk
SEMUA mata memandang Tuan Aziz. Lelaki itu memerhati mereka seorang demi seorang – Fariz, Suren dan kemudian Normala. Matanya terjeling pada Jeffri Zain. Ejen itu juga merenungnya sambil menanti apa yang akan lahir dari bibir bosnya itu.
Extron adalah pesaing Petromal dalam merebut kontrak kerajaan Ganezuela. Selama ini, Petromal tak pernah menang bila Extron masuk dalam persaingan cari gali minyak. Ada lima kes persaingan di antara Petromal dan Extron. Empat dimenangi Extron. Ini kes pertama Petromal memenangi saingan itu.
Extron tidak pernah tewas dalam persaingan merebut hak kerjasama di 17 negara. Mungkin kerana itu mereka berasa tercabar dan ingin merebut kembali hak cari gali minyak walau dengan apa sekali pun.
Kita tau Extron ada pasukan keselamatan mereka sendiri di kesemua lokasi projek mereka. Saya percaya, butang Waterbury adalah klu penglibatan pasukan keselamtan Extron dalam kes penculikan keluarga Wehliye.
Kita kena siasat. Dapatkan kronologi aktiviti Petromal di Ganezuela dari ibupejabat Petromal sendiri. Saya akan hubungi pihak kedutaan kita di Ganezuela untuk silang semak. Dan… Suren! Dapatkan Datuk Rauzah. Kita nak tau andainya dia ada membuat kontak dengan Abram,” ujar Tuan Aziz.
Suren memutar kerusinya untuk menghadap komputer. Perisian Skype dibuka. Namun, ikon Datuk Rauzah didapati offline.
“Linenya off. Mungkin ada masalah talian, tuan,” ujar Suren.
Jeffri segera menerpa ke fonselnya yang berada di sisi komputer Suren. Dia menekan-nekan butangnya. Semua mata memandang Jeffri yang sedang menekur ke fonselnya. Tertanya-tanya apa yang sedang dilakukan oleh ejen itu.
 “Linenya okey! Dan, dia dah tinggalkan Lancang Kuning!” sampuk Jeffri.
Suren segera mengambil fonsel Jeffri. Wayarnya disambung kembali ke komputernya. Lalu skrin komputer Suren membesarkan imej dari fonsel Jeffri. Memaparkan sebuah peta yang menampakkan titik hijau yang berkelip-kelip ke arah utara. Semua mata kini tertumpu ke skrin itu.
“Ini… Datuk Rauzah…” katanya seraya mengunjuk ke titik yang berkelip-kelip itu. “Ini Lancang Kuning…” katanya lagi ketika mengunjuk imej sebuah kapal di bahagian bawah skrin.
“Datuk Fauzah dah bergerak meninggalkan Lancang Kuning?” tanya Tuan Aziz.
“Dia ke mana?” tanya Normala, spontan.
“Saya mesti balik ke pejabat Bad Holac, bos!” ujar Jeffri tanpa menjawab soalan Normala lalu bergegas menghala ke luar bilik.
 “Jeff!” Suren memanggil. “Ambik fonsel!”
Langkah Jeffri terhenti. Dia menoleh. Suren membaling fonsel dan Jeffri menyambutnya. Dia menekur dan membelek seketika barang yang dibaling Pakar IT itu. Ada sesuatu yang tak kena.
“Ini bukan fonsel saya!” Matanya membuntang memandang Suren kerana menyangka lelaki itu silap.
“Ambil yang itu. Itu yang terbaru!” jawab Suren. “Yang Jeff  pakai ni…” kata Suren lagi seraya melambungnya ke dalam tong sampah! “…dah ketinggalan zaman.”
“Ketinggalan zaman? Hei!” Wajah Jeffri berkerut. Dia melangkah kembali menghampiri Suren dengan tangannya yang menggenggam fonsel baru di tangannya. Seolah-olah mahu meluku kepala Suren.
“BISIK dah tak guna sistem GPS. Sebab, ke mana kita pergi pun musuh boleh pantau. Fonsel yang Jeff pegang tu guna sistem baru. Sistem ni lebih canggih daripada sistem GPS atau GLASNOSS Russia.”
“Dia pakai sistem apa?”
“Sistem MAGNAS. Malaysian Global Navigation System!”
“Tak pernah dengar, pun?” soal Jeffri dengan wajah tidak percaya.
“Sekarang, dah dengar, kan?” sampuk Tuan Aziz seraya tersenyum.
Kening Jeffri terangkat. Bibirnya tercebir. Kemudian dia menoleh dan melangkah pergi. Tuan Aziz membiarkan Jeffri berlalu sebelum mengisyaratkan Fariz dan Normala mengekorinya.

Ibupejabat Bad Holac, Merca

JEFFRI melangkah pantas menuju ke sebuah kawasan perumahan dua tingkat. Seperti kawasan perumahan yang lain, dindingnya juga berwarna lumpur dan berdebu. Fariz dan Normala mengepil di tembok berhampiran.
Memerhati Jeffri bercakap-cakap dengan seorang lelaki yang berdiri berhampiran dengan pintu salah sebuah rumah di situ. Hanya seketika bercakap, Jeffri dibenarkan masuk. Bila pintu terbuka, Jeffri kelihatan terhenti seketika sebelum melangkah ke dalam.
            “Jeffri tau kita ikut dia…” bisik Normala.
“Saya pun agak macam tu. Dia berhenti untuk beritahu kita yang dia tahu kita ikut dia,” jawab Fariz.
“He wants to play along. Itu mesej dia pada kita,” ujar Normala.
“Macam mana nak masuk kat rumah itu, kak?” tanya Fariz perlahan.
          “Kita pakai trick lama!”
         “Trick lama?” tanya Fariz lagi.
            Normala tidak menyahut. Sebaliknya dia mengambil gincu dari poketnya. Mulut Fariz membentuk huruf ‘O’ lantaran teringat apakah yang Normala maksudkan sebagai trick lama itu. Seketika kemudian, Normala melangkah perlahan persis seorang model. Kemunculannya menarik perhatian si penjaga pintu. Lelaki mana yang tidak terpikat dengan wanita comel itu?
            “Hi…” sapa Normala dengan suara yang menggoda. Senyumannya dileretkan.
            Lelaki penjaga pintu itu nampak terpinga-pinga. Namun, dia tidak tersengih untuk membalas senyuman Normala. Memang dia amat berhati-hati dengan godaan yang muncul secara tiba-tiba ini. Ejen wanita itu pula tidak putus asa.
            “Abang… saya orang baru kat sini. Mana jalan ke pasar? Apakah saya ikut jalan ke sebelah kanan atau ke kiri?” kata Normala seraya mendepangkan tangannya ke kiri dan ke kanan. Sengaja bergaya dengan melentikkan tubuhnya. “Atau saya terus ke depan?” katanya lagi seraya memuncungkan bibirnya yang bergincu merah.
            Lelaki si penjaga pintu meneguk liurnya.
            “Kalau aku tunjukkan jalan, boleh kau tolong aku?” soal lelaki itu. Sekali lagi dia meneguk liur. Normala nampak halkum lelaki itu bergerak-gerak. Dia tersenyum lagi.
            “Terserahlah pada abang… abang mahu apa?” tanya Normala lagi seraya menjeling lalu menghampiri lelaki itu.
Sekali lagi lelaki itu meneguk liurnya lalu tersengih. Matanya membulat memandang Normala. Dia mula tersengih. Ejen wanita itu pula, mula geram.
‘Dasar Jantan miang! Kalau kau rapat,  halkum engkau tu akan hilang bila terkena penangan lutut aku, ni,’ kata Normala di dalam hati.
“Okey… okey… kalau saudari hendak ke pasar… terus jalan ke depan. Bila sampai ke bukit, ikut jalan sebelah kiri. Kat situlah pasar.”
“Oh, terima kasih…” jawab Normala.
Dia berkira-kira melangkah perlahan untuk mengalih perhatian lelaki itu dari Fariz yang kini sedia untuk membolos ke dalam rumah itu.
“Hei… awak dah lupa nak tolong saya!”
Normala menoleh, lantas melangkah menghampiri lelaki itu.
“Oh, saya terlupa. Abang nak apa?” tanya Normala perlahan. Namun dia bersedia untuk bertindak andainya lelaki itu cuba menyentuhnya.
“Err…” lelaki itu meneguk liurnya lagi. “Err… saya ni haus. Kalau ke pasar, dapatkan saya air minuman dekat kedai buah? Kedai itu pakcik saya yang punya. Minta saja pada pakcik kat situ. Katakan ia untuk Kandiya, anak saudaranya. Dia pasti akan beri percuma! Err… boleh tak?”
Normala memandang lelaki itu dengan mata yang terkelip-kelip. Tidak menyangka, ke situ pulak kehendak lelaki yang asyik meneguk liur sambil memandangnya sebentar tadi.
Matanya lantas menjangkau ke hala pintu rumah itu. Ternampak kelibat Fariz yang sudahpun membolos ke dalam. Sambil menggamit tangannya, Normala melangkah pantas meninggalkan lelaki itu. Kali ini, langkahnya tidak lagi dengan gaya melenggok lagi. Rupa-rupanya bukan punggung atau gaya liuk lentuk yang membuat lelaki itu menelan air liurnya berkali-kali.
Namun, Normala akan ke pasar dan mendapatkan minuman untuk lelaki itu. 

Bersambung Ahad hadapan, insya-Allah...

2 comments:

  1. salam tuan.
    bila nk smbung fragmen 27 plak?
    sy dh x sbr ni mnunggu...

    ReplyDelete
  2. Maaf. Saya sedang menyiapkan sebuah kompilasi artikel. Targetnya siap lusa, 31.1.2013. Insya-ALLAH fragmen seterusnya akan muncul mulai Februari 2013. Terima kasih kerana follow fragmen2 Gerak Gempar! Salam.

    ReplyDelete