Photo credit: examiner.com
Kem
Operasi Gruesome Group, Hermoza Ciudad, Ganezuela
‘DUMMMM!’
Bunyi pintu besi gelongsor yang terkatup menyedarkan
Fariz. Matanya terbuka. Ingatannya segera terfokus kepada keadaan dan
situasinya. Dengan spontan dia ingat kembali di mana dia berada. Telinganya
terpasang. Dalam keadaan terbaring, tendengar bunyi langkah seseorang
menghampirinya.
“Engkau, hidup lagi. Ingatkan dah mati!” Kedengaran
seseorang bergumam.
Mata Fariz terbuka luas. Dia kenal suara itu. Dan dia
tidak senang dengan komen itu. Lalu dia membalikkan tubuhnya. Lantas terpandang
Jeffri yang duduk terlunjur berhampiran dengan pintu.
Tangan lelaki itu terikat ke belakang. Kakinya terhala
ke wajah Fariz. Membuatkan dia sedikit tidak senang. Neneknya kata, tidak molek
menjulurkan kaki ke muka orang. Itu kelakuan orang kurang ajar.
“Saya ingat, abang dah terlepas. Rupa-rupanya… jadi
tawanan macam saya jugak!” bidas Fariz pula seraya tersenyum sinis.
“Aku datang
balik sebab nak selamatkan engkau, Farid!”
“Fariz… nama saya Fariz…” Fariz membetulkan sebutan
namanya.
“Apa-apalah… Farid ke, Fahrin ke, Fariz ke… yang
penting aku kasihankan budak macam engkau!”
“Nak selamatkan saya, dengan tangan terikat?” perli
Fariz.
Jeffri merenung Fariz lalu tercebir. “Dah berpuluh
kali aku jadi tawanan. Berpuluh kali juga satu badan aku terikat… dibalut
dengan kain… diselubung dengan guni…
tertiarap… terendam dalam air… tergantung macam
kelawar… apa yang aku tak pernah rasa? Tapi setiap kali aku kena tawan, setiap
kali juga aku akan terlepas.”
“Insya-ALLAH terlepas… tak baik abang bercakap tanpa
lapik insya-ALLAH!” Sekali lagi Fariz memperbetul kata-kata Jeffri.
“Yang engkau nak ajak aku bertekak ni, apahal?” sergah
Jeffri.
Dari kedudukan terbaring, Fariz bangkit dan duduk
berlunjur. Tubuhnya dihempuk hingga tersandar ke tembok. Ada sesuatu yang mesti
ditunjukkannya kepada ejen senior itu. Dalam keadaan terikat dan terkurung ini,
dia mesti lakukan sesuatu dengan segera. Tindakan biar kemas, pantas dan jitu.
“Salah ke saya perbetulkan cakap-cakap abang?” soal
Fariz dengan wajah berang.
Matanya terjeling ke siling di sudut bilik. Jeffri
mengekori jelingan mata Fariz. Lalu terpandang kamera CCTV di situ. Namun
pandangannya teralih kembali ke wajah Fariz yang tampak garang.
“Ek, eleh budak ni. Engkau nak ajak bergaduh ke? Ada
berani?” gertak Jeffri.
“Siapa takut? Ada ke saya cakap yang saya takut?”
Dengan kata-kata itu, Fariz melompat dan berdiri. Dia
mula melangkah menghampiri Jeffri.
“Aku tak cabar. Tapi kalau orang bagi aku buah, aku
sambut!” ujar Jeffri.
Dengan kata-kata itu Jeffri turut melompat dan
berdiri. Kedua-duanya kini bergerak dalam satu bulatan. Masing-masing menanti
salah seorang menyerang dahulu kerana dalam pertempuran kombat, seseorang yang
menyerap serangan lebih mudah menelah kemahiran musuhnya sebelum bertindak
menyerang balas.
“Tangan kita sama-sama terikat ke belakang…” kata
Jeffri.
“Hmm… macam ayam sabung!” jawab Fariz.
“Betul. Sebab itu kita tengok, kaki siapa yang lebih
kuat menendang!”
“Menerajang…” tingkah Fariz.
“Melibas…” jawab Jeffri, tidak mahu kalah.
DARI bilik kawalan kem, seorang petugas nampak apa
yang bakal terjadi di bilik lokap melalui skrin televisyen CCTV. Dia segera
menggamit rakan-rakannya untuk menonton perlawanan percuma yang pasti
menghiburkan. Masing-masing berkerumun dan tertawa seronok menanti episod yang
bakal berlangsung.
JEFFRI melompat dan mengangkat kaki kanannya. Tinggi
dan lurus seperti seorang pemain takraw. Fariz beranjak sedikit ke belakang.
Cukup sekadar mengelak kaki itu menghempuk kepalanya. Namun, dia juga melompat
dan memutar tubuhnya. Membuat back-kick.
Pada kesempatan itu, Jeffri membongkok dan bergerak ke
bawah Fariz. Cukup untuk menampan perut Fariz yang mendarat betul-betul di atas
kepalanya. Dengan lonjakan yang kuat, tubuh Fariz terlambung dan terhumban ke
lantai. Fariz jatuh terguling. Dia terbatuk-batuk.
“Bukan ke, dah kena…” Jeffri memperli.
Fariz tersenyum sendirian. Dia belum mahu tunjuk
kalah. Lelaki senior di hadapannya ini memang penuh pengalaman. Yang berusia
lebih tenang. Mereka lebih berhati-hati sebelum bertindak kerana gerakan yang
tersasar itu akan membazir tenaga. Dengan ketenangan, ketepatan dalam bertindak
akan terhasil.
Yang muda pula biasa tersasar dan tersilap langkah.
Namun, kemudaan juga dibekalkan dengan tenaga dan ketangkasan. Justeru itu,
kesilapan serangan itu bisa ditutup
dengan perulangan tindakan kerana yang muda biasanya lambat lelah.
Setelah melihat Jeffri hanya mengacah dengan
mengangkat kakinya, kini Fariz pula ingin menyerang. Pengalamannya dengan sukan
parkour mesti dia gunakan.
Perlahan-lahan dia bergerak menghampiri mangkuk tandas di bilik itu. Lalu
memanjat tubir mangkuk itu untuk mendapat sedikit ketinggian. Dia merendahkan
tubuhnya dan mencangkung.
“Woi! Engkau nak berak ke? Kalau nak berak, boleh kita
berhenti sekejap!” perli Jeffri.
Fariz hanya tersenyum di dalam hatinya mendengar
cecehan Jeffri. Kedudukan begitu hanyalah untuk mendapat lompatan yang maksima.
Dengan sekali henjutan, dia menujah kakinya ke tembok. Menggunakan kepalanya
untuk menghentam Jeffri. Lelaki itu hanya mengiring dan membiarkan Fariz
tersasar dan jatuh terjerembab.
“Ini gusti ke apa ni? Hah?” tanya Jeffri.
Dengan segera dia menghampiri tubuh itu dan menendang
perut Fariz. Sekali, dua kali, tiga kali, Jeffri menendang Fariz. Dengan
kedudukan tanagnnya di belakang, Fariz tidak dapat menghalang. Dia hanya
menerima sepakan itu sambil mengaduh kesakitan.
“Aku… kalau mula memukul orang… selagi tak pengsan,
tak luka, memang tak sah!” kata Jeffri.
Dengan kata-kata itu, Jeffri menghentak kedua-dua
tumit kasutnya. Dari hujung kakinya muncul dua besi tajam berupa pisau yang
berkilat! Itulah senjata rahsia yang hanya akan digunakan pada saat-saat
genting!
PARA petugas yang menonton dari skrin TV di bilik
kawalan nyata terkejut dengan apa yang mereka lihat. Mereka tidak menyangka
Jeffri ada senjata dari kasutnya. Namun hanya seketika sahaja mereka kaget.
Pada saat berikutnya mereka kesemuanya tertawa dan bertepuk tangan. Menanti
tayangan percuma yang menjanjikan percikan darah sebagai hiasannya.
Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...
No comments:
Post a Comment