Photo credit: networkoverseas.cc
Al-Mouwasat
Hospital, Madinah
SUDIRMAN memang kenal ramai orang. Sebaik sahaja melangkah ke dalam bangunan hospital, ada sahaja orang yang ditegurnya. Ada sahaja orang yang menyapanya. Beberapa kali juga langkah mereka terhenti apabila ada kakitangan hospital yang mengajaknya berbual barang seketika. Fariz yang mengekori Sudirman sesekali tersenyum sendirian melihat keramahan lelaki ini.
Mungkin, oleh
kerana Masjid Nabawi adalah pusat ibadah, ramai kakitangan hospital yang datang
ke masjid itu pasti akan terpandang Sudirman melakukan tugas-tugasnya. Dari
situ, mereka berkenalan dan menjalin persahabatan. Menjadikan Sudirman orang
yang terkenal di hospital ini.
“Abang Man sememangnya
kenal Saleem Amare. Dia tuanpunya syarikat haji dan umrah. Dalam setahun,
sekurang-kurangnya sekali dia akan datang ke Madinah bersama para jemaah haji
dan umrah ke sini…” kata Sudirman ketika mereka menanti lif.
“Setiap kali ke
mari, Saleem pasti pinta abang Man kirim air zam-zam untuk jemaahnya di hotel.”
‘Perbuatan itu,
haram!’ bentak hati Fariz.
Dahi Fariz
berkerut mendengar penerangan Sudirman. Apakah Sudirman mengambil tong-tong air
zam-zam yang digunakan di masjid untuk jemaah Saleem Amare? Jika itu yang
dilakukan lelaki itu, sesungguhnya tindakan itu menyalahi kerana Sudirman
mengambil barangan masjid untuk kegunaan orang lain.
“Nggak! Saya tidak
gunakan tong-tong daripada syarikat saya…” jawab Sudirman. Seolah-olah dia
mendengar bisikan di hati Fariz. “Saya beli tong-tong saya sendiri. Air zam-zam
itu saya ambil melalui pertolongan kawan-kawan saya yang berkunjung ke kota
Mekah!”
Fariz mengukir
senyuman. Malu juga rasanya kerana su’u dzan dengan lelaki ini.
SEBAIK sahaja pintu kamar terkuak, Saleem Amare menoleh. Fariz lihat wajahnya tampak tenang sambil duduk berlunjur di katilnya. Dadanya berbalut. Terdapat tompok berwarna merah berbalam-balam di kain balutan itu. Wajahnya sedikit terkejut melihat kedatangan Sudirman bersama dirinya. Tiga orang lelaki yang menemaninya bergerak ke samping memberi ruang.
“Hei! Mana kamu
tahu aku ada di sini? Sudirman… marilah duduk kat sini…” kata Saleem seraya
mengunjuk kerusi berhampiran dengan katilnya. Seorang lelaki yang menduduki
kerusi itu lantas bangun untuk memberi peluang Sudirman pula melabuhkan
punggungnya.
Sudirman
bersalaman dan memeluk lelaki itu. Kemudian tiba pula giliran Fariz berjabat
salam dengan lelaki berusia lebih separuh abad itu.
“Hei… saya kenal
awak!” kata Saleem sebaik sahaja menyambut salam Fariz. “Tadi, awaklah yang
datang untuk mengambil foto saya bersama para jemaah…”
Fariz
terangguk-angguk mengiyakan seraya tersenyum. Dia teringat kembali arahan yang
diperoleh dari BISIK sebaik sahaja mengkhabarkan insiden tembakan ke atas
Saleem. Dia perlu memperkenalkan dirinya kepada lelaki itu untuk meminta
bantuan segera.
“Kami datang
dengan satu tujuan penting,” kata Sudirman perlahan.
Ketika dalam
perjalanan ke hospital, Fariz telah menceritakan serba sedikit mengenai
tujuannya menemui Saleem Amare dan meminta bantuan Sudirman untuk menyampaikan
hasratnya.
“Apa yang
pentingnya? Boleh saya tahu?” soal Saleem dengan tenang. Di wajahnya tergambar
sedikit rasa hairan kerana Sudirman tidak pernah berbicara dengannya perkara
yang lain, selain daripada urusan penghantaran air zam-zam ke hotelnya.
“Rakan saya ini
ingin bertanya sesuatu..” ujar Sudirman.
“Sesuatu? Sesuatu
apa?” soal Saleem seraya mengintai Fariz yang kebetulannya berdiri di belakang
Sudirman.
Fariz lantas menghampiri
Saleem dan berbisik, “Saya nak bercakap mengenai Wehliye! Wehliye Amare!”
Kening Saleem
perlahan-lahan terangkat. Dia merenung Fariz dengan dahinya yang berkerut.
Bagai tidak percaya apa yang dituturkan Fariz. Saleem mengeluh dalam. Kemudian
mengisyaratkan kepada lelaki-lelaki yang berada di kamar itu untuk keluar
daripada bilik itu.
Dengan isyarat
mata, Sudirman pula memandang Fariz sebelum dia juga melangkah perlahan
meninggalkan kamar itu.
“TUAN mesti bantu kami!” ujar Fariz dengan nada perlahan tetapi mendesak. “Kapal kami…”
“… diserang lanun
yang diketuai oleh adik saya, Wehliye Amare? Betul?” sampuk Saleem menyudahkan
mukadimah Fariz.
Fariz mengangguk.
Sebuah senyuman
kecil terukir di bibir Saleem. Seketika kemudian dia tergeleng perlahan. Tampak
sekali dia kecewa dengan khabar yang Fariz bawa. Lalu dia menoleh ke luar
jendela. Memandang kenderaan yang melintasi jalanraya di hadapan hospital.
Beberapa ketika
dia bagai berkhayal. Tidak peduli dengan kehadiran Fariz di sisinya. Sesekali
matanya terkelip-kelip. Barangkali mengimbau kenangan lalu ketika dia sendiri
menjadi seorang ketua lanun.
Fariz hanya
membiarkan Saleem tenggelam dalam lautan fikirannya. Biarlah dia bertenang dan
mengambil sedikit masa. Mudah-mudahan, setelah fikiran tenang, Saleem akan
dapat membantu dengan sebaik-baiknya.
Sejak diberhentikan
kerja berikutan dengan pemansuhan jabatannya, Saleem kembali ke kampung
halamannya di bandar pelabuhan Baraawe. Rakan sekampung yang kasihan kepadanya
yang menganggur menawarkannya kerja mengangkut kargo kapal.
Minatnya terhadap
laut membuatkan dia bertukar haluan kerjaya menjadi nelayan pula. Dengan sebuah
bot yang dibeli dengan wang simpanannya, mulalah dia meneroka ke lautan bersama
adiknya, Wehliye dan beberapa orang anak-anak buahnya. Namun, masa depannya
sebagai nelayan menjadi kelam apabila lautan Somalia tempat dia mencari rezeki
sering dipenuhi dengan tumpahan minyak dari pelbagai kapal antarabangsa yang
tidak peduli langsung dengan alam.
Malah, seluruh
masyarakat nelayan sakit hati apabila rungutan-rungutan mereka terhadap pihak
berwajib tidak dihiraukan. Kalau adapun tindakan diambil terhadap kapal yang
melanggar undang-undang maritim, rasuah kepada mereka yang menguatkuasakan
peraturan itu begitu berleluasa. Mereka yang bersalah, terlepas begitu sahaja
kerana undang-undang boleh dijual-beli.
Akhirnya, apabila
lautan dipenuhi minyak, apabila ikan-ikan pun mati dan para nelayan marah
kerana tiada masa depan, mereka bertindak sendiri kerana dendam. Kapal-kapal
perdagangan yang melalui lautan Somalia diserang. Segala harta benda anak-anak
kapal dirampas sebagai balasan.
Lama kelamaan,
kegiatan merompak kapal menjadi satu mata pencarian. Rompakan biasa di tengah
laut berubah menjadi satu kegiatan yang menguntungkan bila mana bukan sahaja
anak-anak kapal yang dirompak, malah anak-anak kapalnya dijadikan sebagai
tebusan. Wang jadi pertukaran komoditi yang dibawa kapal. Inilah fenomena sebenar mengapa banyaknya
lanun di lautan Somalia.
Saleem bersama
anak-anak buahnya juga terlibat. Dengan keuntungan yang diperoleh, Saleem
menambah empat lagi bot dan menggajikan nelayan-nelayan yang menganggur untuk
menjadi lanun. Banyak wang yang diperoleh dengan cara itu. Namun, kehidupan
sebegitu bukannya pilihan sebenar Saleem. Dia sering mengalami igauan ngeri
kerana sentiasa menghimpun dosa.
Dalam satu
kejadian yang tidak diingini, Saleem tertembak dua orang anak kapalnya dalam
satu kejadian tembak menembak dengan pihak tentera Russia yang mengawal kapal
dagang mereka. Kesal dengan apa yang terjadi, Saleem meratapi kematian mereka.
Namun, nasi sudah menjadi bubur. Kekesalan tidak boleh mengubah keadaan.
Akhirnya, Saleem mengundur diri dari kegiatan melanun.
Kesemua bot-botnya
dibakar di tengah laut. Harta benda rampasannya diberikan sahaja kepada
lanun-lanun yang lain. Adiknya Wehliye juga dipujuk untuk berhenti menjadi
lanun. Namun, Wehliye berdegil. Dia menyertai sebuah kumpulan lanun yang lain.
Saleem pula naik ke darat dan mencuba nasib sebagai seorang usahawan hingga
berjaya pada hari ini.
Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...