Sunday, March 31, 2013

FRAGMEN 34: GERAK GEMPAR


Photo credit: wickedtheory.blogspot

“DATUK RAUZAH…”


Perintah Jeffri dengan menguis muncung rifelnya. Menyuruh Ketua Pengarah Operasi Petromal itu turun dari jeep. Dengan wajah masam mencuka, Datuk Rauzah membuka pintu kenderaan. Jejarinya tampak  menggeletar. Bukan kerana gentar, tetapi kerana geram.

“Semua okey, Jabril?” tanya Abdool, salah seorang anggota Bad Holac yang tiba.

“Okey. Semuanya okey, Abdool!”

Fariz dan Normala memandang Datuk Rauzah dibawa pergi oleh lanun-lanun itu. Melihat helikopter itu mengambang dan teroleng-oleng di udara sebelum berlalu meninggalkan mereka.

“Jabril… Jabril, konon… huh! Pembelot! Pengkhianat!” gumam Fariz dengan hati yang jengkel.

Normala yang hanya terdiam sejak tadi terus meludah ke tanah!


Bilik Operasi Rahsia BISIK, Banda Merca, Baraawe


PERHUBUNGAN terputus bila Cenderawasih musnah. Beberapa kali Suren cuba mendapatkan imej walaupun dia tahu usahanya sia-sia. Dia cuba mendapatkan imej dari Mysat-4, satelit Malaysia yang berada di angkasa pula. Apa yang terpapar mengejutkannya.

“Tuan…”

Seruannya menarik perhatian Tuan Aziz untuk memandang komputer. Mereka berdua tampak imej empat manusia sedang bergerak ke helikopter yang menanti. Bila helikopter berangkat ke udara, Tuan Aziz nampak jeep yang dipandu Normala menjauhinya

“Apa yang dah terjadi?” Tuan Aziz tertanya-tanya. Lantas dia cuba menghubungi Jeffri. Namun, panggilannya tidak berjawab.

“Tuan!” panggil Suren seraya menghulurkan fonselnya kepada Tuan Aziz.

Ketua Pengarah BISIK  mengambil fonsel.

“Bos! Jeffri belot!” kedengaran suara termengah-mengah Fariz.”

            Dahinya bergaris berkerut seribu setelah Fariz menceritakan segala-galanya. Sama sekali tidak menyangka apa yang didengarinya. Peluh dingin terasa merembes ke tengkuk Tuan Aziz. Setelah mengeluh dalam, dia menghubungi Perdana Menteri.


Majlis Pertahanan Negara, Putrajaya


KESEMUA mereka yang hadir kelihatan gusar dengan apa yang terjadi. Sebaik sahaja imej yang dipancar Cenderawasih hilang dari pandangan, mereka mendapat maklumat dari KD Haruan, Cenderawasih telah musnah!

Imej dari Bilik Operasi Rahsia BISIK di Banda Merca, Somalia mula terpancar. Wajah Tuan Aziz, Ketua Pengarah BISIK kini terpapar dengan wajah yang sugul. Ahli-ahli Majlis Pertahanan Negara kini menatap imej rakan mereka itu dengan rasa empati.

“Aziz…” kata PM, perlahan.

“Ops Sambar… gagal!” jawab Tuan Aziz seraya meneguk liur.

“Saya tak boleh terima jawapan itu,” ujar PM. “Ops Sambar belum gagal. Kita mesti selamatkan Datuk Rauzah.”

Tuan Aziz tidak menjawab. Dia hanya menunduk. Lain-lain Ahli Majlis Mesyuarat hanya memerhati skrin. Sama-sama berempati dengan perasaan Tuan Aziz yang kini berada di negara benua Afrika itu. Perhubungan diputuskan. PM mengalih pandangannya ke seluruh Ahli Majlis Mesyuarat.

“Saya tahu, tugas kita semakin sukar…” kata PM seraya memandang wajah-wajah ahli-ahli majlis seorang demi seorang. “…di sepanjang sejarah Malaysia,  kita tidak pernah gagal dalam apa jua ancaman musuh. Kita telah berjaya menentang komunis… menamatkan konfrontasi dengan Indonesia… menumpaskan penceroboh dari Sulu.

Ops Sambar lebih mudah… lebih ringkas. Justeru itu, ia tidak boleh gagal. Andainya kita gagal, kita tidak sehebat dan seberani para pemimpin sebelum kita. Kita mesti ubah pelan, tambah masa, tambah tenaga agar Ops Sambar berjaya seperti yang dirancang. Undur dalam berjuang adalah pantang datuk nenek moyang kita!" kata PM penuh bersemangat.

Seluruh Ahli Majlis Mesyuarat mengangguk setuju. Mereka bersedia untuk terus berkampung di Dewan Operasi Majlis Pertahanan Negara.  Demi maruah negara tercinta, mereka akan mencurah fikiran andainya ia memakan hari, minggu atau bulan-bulan seterusnya. Malah, jika perlu, mereka akan turut turun ke medan menyertai rakan mereka, Tuan Aziz Tuan Ghani.


Bilik Operasi Rahsia BISIK, Banda Merca, Baraawe


TUAN AZIZ dan Suren kelihatan bergegas keluar dari rumah yang dijadikan bilik operasi rahsia BISIK. Seketika sahaja jeep yang dipandu Normala tiba. Mereka segera menaikinya. Tidak menunggu jeep Normala berhenti.

Kenderaan mengaum laju. Meninggalkan pusaran debu hasil dari geseran tayar kenderaan itu di permukaan jalan. Setelah jeep menjauh, satu letupan berlaku di rumah tinggalan BISIK. Api menjulang dan asap berkepul-kepul memanjat ke langit. Memadam bukti kehadiran mereka.

 Pejabat Presiden Ganezuela

 ALBERTO Chimo duduk tersandar. Jejarinya bersilang dengan kedua-dua jari telunjuknya mencecah bibirnya. Dia merenung Abram William, Ketua Pengarah Operasi Extron, syarikat carigali minyak dari Amerika itu. Kemudian pandangannya teralih kepada Quando Jabuti, Menteri Petroliam negaranya.

            Pembentangan hujah Abram sebentar tadi memang ada benarnya. Peristiwa penculikan Datuk Rauzah, Pengarah Projek Petromal dari Malaysia itu membantutkan usahasama di antara Ganezuela Oil Company atau GOC dengan Petromal.

            Masa adalah faktor penting dalam perniagaan. Ganezuela yang miskin sudah tidak boleh menunggu lama untuk menikmati hasil bumi yang baru ditemuinya. Emas hitam akan menentukan jatuh bangun negaranya.

Selagi belum ada perjanjian hitam-putih yang termeterai, GOC boleh sahaja mengadakan perjanjian dengan syarikat Amerika itu. GOC belum terikat dengan Petromal, meskipun syarikat itu adalah bakal rakan kongsi yang baik. Tambahan pula, Extron adalah pembida yang kedua layak membuat kerjasama itu.

            “Mr. Abram… apa yang tuan katakan itu ada benarnya.”

            Alberto Chimo bangun dan bersalaman dengan Abram William. Tangan kedua-duanya tergenggam erat.

            “Beri saya masa. Seminggu. Andainya tiada perkembangan, kita boleh berjumpa dan berbincang sesuatu yang lebih konkrit.”

            “Terima kasih, Tuan Presiden… terima kasih,” jawab Abram William dengan ceria.

            Quando Jabuti hanya bersalam dengan Abram William sebagai isyarat. Hatinya mengkal. Dia lebih gemar mengadakan kerjasama dengan Petromal, bukannya Extron. Namun, apabila Tuan Presidennya telah berkata begitu, dia tahu Extronlah yang akan sah menjadi rakan kongsi GOC.

            “Quando…” sapa Alberto sebaik sahaja Abram berlalu.

            “Mengapa Tuan Presiden begitu mudah mengalih perhatian kepada Extron?” Quando mengambil kesempatan untuk meluahkan apa yang terbuku di hatinya.

“Bukankah Petromal yang memulakan segala-galanya? Bukankah mereka yang menemui minyak di kawasan hutan kita setelah Extron sendiri tidak mahu melibatkan diri secara total dengan kita?

Mereka kata tidak banyak minyak di bumi Ganezuela. Pengeluarannya tidak ekonomik kerana kos yang begitu tinggi. Lalu mereka hanya bersedia ambil bahagian dalam carigali seandainya terdapat bukti-bukti yang kukuh terdapat telaga minyak di bumi kita.

Mereka hanya mahu menuai hasil, berbanding dengan Petromal yang lebih ikhlas menjalankan penyelidikan dan carigali. Apakah Tuan Presiden lupa dengan jasa Petromal?”

“Apa yang awak kata itu betul, Quando…” jawab Albert dengan tenang untuk memujuk menterinya. “Tapi kita perlu segera. Kita perlu cepat melakukan carigali demi mengubah masa depan kita.”

“Masa depan kita, atau masa depan politik Tuan Presiden?” bidas Quando.

“Kita mesti realistik, Quando…”

“Masa depan kita atau masa depan politik?” desak Quando.

“Ya! Demi masa depan politik saya.!Dan masa depan parti politik awak juga! Kalau itulah yang awak mahu dengar, maka itulah jawapan saya!” bentak Alberto. Urat lehernya timbul bila dia separuh menjerit kerana mempertahankan pendirannya.

Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...

Sunday, March 24, 2013

FRAGMEN 33: GERAK GEMPAR


Photo credit: borderlandbeat.com

“TUNDUK!” arah Normala kepada semua.

Secara spontan, masing-masing menunduk. Tanpa sempat berkelip, peluru bazooka melintasi kepala mereka. Bahang apinya terasa memijar kulit. Gerakannya laju ke hadapan. Kira-kira 10 meter daripada jeep mereka, ia terus menghentam lereng bukit.

Tanah bukit kelihatan terhambur melayang. Pokok-pokok kecil terbungkas akarnya dan tumbang. Tanah lembab terpercik ke cermin jeep. Normala segera menyembur cermin dan menghidupkan alat pengelap.

Dua tiga kali alat itu mengelap, cermin itu semakin kusam. Tanah bertukar menjadi lumpur. Normala tidak dapat melihat halatuju kenderaan. Dengan segera dia menghentak cermin menggunakan bontot pistolnya. Mujurlah cerminnya jenis fiber yang kuat. Ia tidak retak seribu. Sebaliknya hanya pecah berlubang.

Bila pandangannya jelas kembali, pergerakan jeep mencapai kelajuan semula. Meninggalkan kenderaan musuh jauh di belakang. Dalam kedudukan itu, musuh berhenti menembak. Mungkin tidak mahu tertembak Datuk Rauzah yang mereka ingin tangkap semula hidup-hidup.

Jeffri kini berdiri menghala ke sisi kiri kenderaan dan membidik rifelnya ke arah helikopter. Masih menunggu saat yang sesuai dan tepat untuk menembak. Pandangannya teralih pula pada Cenderawasih yang kini merendahkan penerbangannya.

 ‘Bum!’

Jeep terlanggar batu besar yang berada di tengah jalan ketika menuruni bukit. Normala segera mengundurkan jeep. Ia mengundur sedikit, kemudian terhenti walaupun enjinnya masih hidup.

‘Klung, klang, klung, klang…’

Kedengaran bunyi sesuatu yang kuat dari arah enjin.

“Argh! Bunyi kipas! Pasti radiatornya dah terperosok ke dalam sebab terlanggar batu!” bentak Jeffri.  

Kenderaan musuh kian menghampiri. Normala terus menekan pedal minyak. Namun jeep hanya bergerak sedikit. Fariz membidik rifelnya untuk menyambut kedatangan kenderaan musuh. Dia memetik picu. Namun…

“Woi! Peluru dah habis!” pekik Fariz.

Matanya meliar tercari-cari andainya terdapat bekalan peluru di ruang jeep itu. Dia tertunduk-tunduk menggeledah peti menyimpan peluru. Lalu tergeleng-geleng bila mendapati tiada lagi peluru yang ditemui.

“Buang ajelah rifel kamu tu!” sampuk Jeffri. “Nak buat apa lagi senjata tu. Dah tak boleh pakai.”

Kata-kata itu membuatkan Fariz menoleh. Dia bertentang mata dengan Jeffri. Dalam keadaan genting sebegini, mengapa Jeffri boleh memperlinya? Rasa amarahnya tiba-tiba datang.

“Buang rifel tu!” kata Jeffri dengan nada memerintah sambil menggayakan perbuatan membuang rifel dengan senjatanya.

Barulah Fariz tersedar yang dia tersalah sangka. Jeffri bukan memperlinya. Sebaliknya dia mahu Fariz melakukan sesuatu yang boleh menyelamatkan mereka. Kini Fariz menggenggam muncung rifelnya.

Menanti kedatangan kenderaan musuh. Tangannya menghayun rifelnya hingga terputar dalam bentuk bulatan. Apabila kenderaan musuh begitu hampir, rifel itu dilepaskan. Senjata itu melayang dan mendarat tepat ke cermin kenderaan musuh lalu memecahnya.

Kenderaan musuh kelihatan tidak tentu arah apabila cerminnya retak seribu. Ia bergesel dengan bucu jeep mereka sebelum terbabas ke bahu jalan. Pada ketika itulah satu gerakan api melayang dan menghentam kenderaan musuh. Ia terbakar dan meletup.

Mereka semua sempat mendongak dan terpandang Cenderawasih yang terbang rendah. Pasti peluru yang menghentam kenderaan musuh itu datang dari kapal terbang tanpa pemandu itu. Mereka semua tersorak gembira.

Namun, kegembiraan mereka hanya sementara. Pergerakan helikopter teralih ke arah Cenderawasih lalu mengejarnya. Seperti helang mengejar pipit.  Hujan peluru mula terhambur ke badan Cenderawasih. Cahaya-cahaya jingga kelihatan berkeliaran menikam kapalterbang tanpa pemandu itu. Akhirnya Cenderawasih terbakar dan menjunam ke laut.

Seketika sahaja pergerakan helikopter kini teralih semula kepada mereka. Hujan peluru mula menghujani sekitar jeep. Mereka semua tertunduk melindung diri kecuali Jeffri. Dia membidik rifelnya. Mengekori pergerakan helikopter yang kini mengelilingi jeep mereka.

“Kenapa Jeff tak tembak musuh?” tanya Normala. “Sejak tadi tak pernah tembak pun!”

“Kau diam! Aku tahu apa yang aku buat!” tengking Jeffri.

Muncung rifelnya mengekori helikopter itu sehingga ia mendarat kira-kira 10 meter dari jeep. Normala menekan pedal minyak. Beberapa kali dia lakukan. Akhirnya jeep itu bergerak dan terundur!

“Hentikan!” gesa Jeffri.

“Apa?” tanya Normala tanpa menoleh. Dia terus menggerakkan jeep dan membelok untuk membuat pusingan-U agar lari daripada helikopter itu.

“Berhenti atau aku tembak!” perintah Jeffri. “A-ha! Buang pistol tu!” katanya lagi bila terpandang Normala mencapai pistolnya. Ejen wanita itu terpaksa akur. Pistolnya dibaling keluar jeep.  

“Kau gila, Jeff!” tengking Fariz. Panggilan ‘abang’ sudah tidak digunakannya. Rasa hormat kepada ejen yang lebih senior daripadanya itu sudah merudum.

“Apa kau nak buat?” sampuk Datuk Rauzah.

“Aku mahu kamu, Rauzah!”

Fariz memaut palang jeep dan menghayun tubuhnya untuk melompat dari bahagian belakang dan kini berdiri di kerusi bersebelahan dengan Datuk Rauzah. Namun pergerakan seterusnya mati apabila Jeffri menghunus pula rifelnya ke arah Fariz.

“Kau bergerak, kau mati!”

“Kau gila!” jerit mereka semua serentak.

“Aku tak gila! Aku cerdik. Kamu semua yang bongok!” jawab Jeffri seraya tersenyum sinis.

“Kamu belot! BISIK akan tahu!” bentak Fariz.

“BISIK tak akan tahu. Rakaman kamera dah tenggelam bersama Cenderawasih!” jawab Jeffri lalu tergelak-gelak.

Jeffri menoleh ke arah helikopter lalu melepaskan dua das tembakan sebagai isyarat. Kelihatan dua orang anggota Bad Holac terjun dari helikopter dengan senjata terhunus bergerak ke arah mereka.

Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...

Sunday, March 17, 2013

FRAGMEN 32: GERAK GEMPAR



Photo credit: post-apocalypse.co.uk

Bilik Mesyuarat Majlis Pertahanan Negara, Putrajaya


SEMUA mata tertumpu pada imej jeep yang dipandu Normala Mustakim dari pandangan udara. Imej yang dipancar dari Cenderawasih, kapalterbang tanpa pemandu kepunyaan TUDM itu jelas tertayang seperti wayang gambar.

            “Apa dia buat, tu?” Datuk Badruldin Zakaria, Ketua Pengarah Cawangan Khas memberi reaksi tatkala jeep itu keluar dari jalan raya lalu merentas padang pasir.

            Kira-kira 70 meter di belakang, dua buah kenderaan musuh sedang laju mengekori. Kelihatan percikan-percikan cahaya yang bergerak laju. Menandakan tembakan sedang dilepaskan oleh kedua-dua pihak.

            “Kita doakan mereka selamat,” demikian ujar PM yang turut sama menonton situasi itu.

            Para anggota Majlis Pertahanan Negara yang lain bagai tak senang duduk. Mereka tahu, usaha menyelamat Datuk Rauzah pasti menerima tentangan dan halangan. Peluang di antara berjaya atau gagalnya Ops Sambar bergantung pada kecekapan dan koordinasi mereka  yang berada di medan operasi.

            Andainya berjaya, maruah Malaysia akan dipandang tinggi. Jika sebaliknya, bukan sahaja imej negara dipandang rendah, malah kemungkinan kesemua nyawa mereka yang berada di dalam jeep itu akan hilang!

Kawahia Kijiji, 25 Kilometer dari Baraawe

NORMALA memandu laju merentasi padang pasir. Lautan Hindi kini berada di sebelah kiri. Dua kenderaan musuh masih mengekori. Fariz masih berbalas tembakan dengan musuh. Jeffri pula membidik rifelnya ke arah helikopter yang sedang mengekori dari udara. Hanya menanti saat untuk melepaskan tembakan.

            “Datuk! Tunduk! Biar kami buat kerja!” arah Normala tanpa menoleh. Tangannya masih erat memutar stereng jeep.

            “Tak apa. Jangan risau. Nak mati pun kat mana-mana,” jawab Datuk Rauzah.  

            Normala mencebir mendengarnya. Tidak suka dengan jawapan wanita yang dianggap degil tak kena masa. Namun, dia tidak boleh memaksa. Dia harus fokus. Fokus kepada pemanduannya.

            “Saya tahu jalan kat sini!” pekik Datuk Rauzah kerana bunyi enjin kenderaan dan kipas helikopter menenggelamkan suaranya.  “Lepas lalu bukit kat depan tu, ada jalan lama. Itu jalan pintas. Kita boleh cepat sampai ke Baraawe.”

Fariz menyasarkan rifelnya. Lalu  melepaskan tembakan. Tidak mengena kerana ketika das dilepaskan, jeep terlambung bila terlanggar batu. Fariz menembak lagi. Tersasar lagi kerana kenderaannya membelok pula. Hampir-hampir Fariz terduduk.

“Mala! Aku susah nak tembaklah. Bawaklah pelan, sikit!” pekik Fariz.

“Woi! Engkau ingat aku bawak bas pelancong, ke?” jawab Normala.

“Aku tak kira kau bawak apa. Bagilah aku can nak tembak, ni!”

“Okey! Okeyyyyyyy!”

Normala menekan brek. Brek mati! Mereka semua terpekik. Jeffri hampir tersembam ke cermin hadapan. Datuk Rauzah sempat menahan tubuhnya daripada terhumban ke hadapan dengan menggenggam kerusinya. Fariz pula hampir terjatuh. Mujurlah lengannya kejap memaut palang yang melintangi kenderaan.

“Woi! Kau gila, ke?” jerit Fariz bila terpandang kenderaan pacuan empat roda semakin menghampiri. Dia nampak kenderaan itu menekan brek. Wajah pemandunya yang panik semakin jelas kelihatan bila kenderaan itu kian menghampiri.

Dalam beberapa saat lagi, kenderaan itu akan menghentam jeep. Fariz sudah bersedia untuk melompat keluar menyelamatkan diri bila dia terhenyak ke kiri kenderaan. Rupa-rupanya Normala menggerakkan kenderaan dan membuat pusingan-u. Asap debu terus berterbangan. Menjadikan ia smoke screen yang mengkaburkan pandangan di antara jeep dan kenderaan musuh.

“Fariz! Cepat! Aku cover!” pekik Normala seraya melepaskan tembakan bertalu-talu ke arah kenderaan musuh dengan pistolnya. Tangan kirinya masih kejap memegang stereng.

Percikan peluru musuh turut menghujani jeep. Fariz duduk bertinggung. Dia tercium peluang. Baru dia sedar mengapa Normala bertindak begitu. Dalam masa tiga saat, jeep akan berselisih dengan kenderaan musuh. Fariz mesti mengambil peluang itu.

Jangkaannya tepat. Sebaik sahaja kedua-dua kenderaan itu berselisih, Fariz melepaskan berdas-das tembakan ke arah tangki kenderaan itu. Serta-merta api menyambar. Sisi kenderaan musuh mula terbakar. Empat orang musuh kelihatan melompat keluar daripada kenderaan sebelum ia meletup.

“Alhamdulilah!” kata Fariz.

“Ya, ALLAH!” pekik Normala pula.

Jeep diputar segera ke kiri. Membuat ia bergerak mengiring. Persis dalam aksi drag. Sempat mengelak sebuah lagi kenderaan musuh yang mengekori kenderaan pertama yang meletup itu. Kenderaan musuh mula mengubah haluan. Membuat pusingan-u juga untuk mengejar mereka.

Normala menekan minyak. Memecut untuk meninggalkan kenderaan musuh. Namun kuasa kuda kenderaan musuh itu lebih besar. Seketika sahaja ia sudah menghampiri. Desiran peluru kedengaran melintasi di kiri kanan kenderaan. Normala terpaksa memutar stereng ke kiri dan kanan untuk mengelak.

“Wow, wow!” Fariz memberi amaran.

Masing-masing sempat tertoleh dan nampak musuh mula memikul bazooka. Satu das peluru bazooka akan menghancurkan mereka semua.

“Dia tak akan tembak! Jangan risau! Dia orang hendak saya!” ujar Datuk Rauzah.

Dia cuba menenangkan mereka. Benar juga katanya. Pihak musuh yang menculik Datuk Rauzah pasti mahukan wanita itu hidup-hidup.  Dia adalah aset yang ingin direbut dalam percaturan ini. Namun…

‘Vooooooooooom’

Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...

Sunday, March 10, 2013

FRAGMEN 31: GERAK GEMPAR


 
Photo credit: fxguide.com
 
Ibupejabat Extron, Houston, Amerika

ABRAM William menumbuk mejanya. Kemudian duduk tersandar di kerusinya. Dahinya diusap-usap. Cuba melegakan rasa stres yang dialami bila mendapat khabar dari Wehliye Datuk Rauzah telah dibawa lari.

            Ketua Pegawai Eksekutif Extron itu tidak boleh menerima hakikat usahanya untuk mensabotaj Petromal akan mendapat tentangan. Apa yang dimahukan hanya melewat-lewatkan perjanjian kerjasama di antara syarikat minyak Malaysia itu dengan  kerajaan Ganezuela.

            Bila dia mendapat tahu kapal Lancang Kuning kepunyaan Petromal itu dirampas lanun Somalia yang diketuai oleh Wehliye Amare, Abram mengambil kesempatan untuk menawarkan ganjaran kepada Wehliye agar Ketua Pengarah Operasi Petromal, Datuk Rauzah Hamdi yang kebetulannya berada di atas kapal minyak Malaysia itu ditahan dan dibawa menemuinya.

            “Helo, Rock Robson!” ujar Abram William sebaik sahaja panggilan telefonnya diangkat di hujung talian.

            “Ya, William!”

            “Kau dah tahu apa yang aku dah tahu?” tanya Abram.

            “Ya! Pada saat ini, aku sedang pantau pergerakan mereka. Bila tiba masanya, aku akan pintas. Serahkan pada aku, aku tahulah apa yang aku nak buat!” jawab Rock Robson.

            “Bagus! Tapi ingat… aku mahu tahanan itu ditangkap hidup-hidup!” Abram member ingatan.

            “Oh itu masalah kecil. Semuanya beres! Kau tunggu!” jawab Rock.


Bilik Operasi Gruesome Group, Hermoza Ciudad, Ganezuela

ROCK ROBSON. Bekas General yang berpengalaman berkhidmat selama 35 tahun di United States Army. Beliau pernah menjadi komander ketika bertugas di Afghanistan pada tahun 2001 dan Iraq pada tahun 2008. Rock juga pernah berkhidmat sebagai komander International Security Assistance Force (ISAF).

            Kini beliau merupakan Pengarah Gruesome Group, sebuah agensi militeri yang mengawal pelbagai kepentingan syarikat-syarikat swasta antarabangsa Amerika di merata dunia. Ekstron Corporation, sebuah syarikat minyak Amerika adalah salah satu di antaranya.

            Fasiliti Gruesome Group juga canggih. Pengalaman Rock dalam bidang ketenteraan dan perisikan membolehkan syarikat ini melatih para petugasnya dengan cara ala-tentera. Malah, sebahagian besar daripada anggota petugasnya di medan merupakan bekas-bekas askar yang berpengalaman.
            Untuk menjaga kepentingan syarikat antarabangsa Amerika di merata dunia, Rock juga menggunakan pendekatan teknologi mutakhir. Melalui teknologi juga dia memperoleh imej lokasi-lokasi operasinya di serata dunia. Namun…

            “Mana  gambarnya? Mana dia?” pekik Rock kepada para petugasnya.

            Suaranya menggaung menjangkaui seluruh bilik operasi. Para petugas di bilik itu tertunduk-tunduk cuba mendapat imej terkini kenderaan yang dipandu Normala. Namun, imej itu masih belum kelihatan.

            “Kami tak dapat lagi, tuan!” jawab seseorang petugas yang berada berhampiran dengan tempatnya berdiri.

            “Saya tak mahu dengar jawapan itu!”

            “Benar, tuan! Mungkin kegagalan satelit mengesannya!”

            Rocak Robson mencebir. “Kalau macam tu, kita guna cara konvensional! Arahkan pasukan kita di darat mengesan kedudukan kenderaan musuh!”

Kawahia Kijiji, 30 Kilometer dari Baraawe

KENDERAAN yang dipandu Normala masih bergerak laju. Tayar-tayarnya menggeser bumi dan menggembur tanah. Mengangkat pasir dari bumi dan meninggalkan kenderaan itu lingkaran debu yang berputar dan menghilang.

Jeffri yang duduk bagai patung di sebelah Normala. Jejarinya kemas berada di picu rifel Kalashnikov yang dibawa. Datuk Rauzah pula sempat memejam mata. Meskipun terkatup, fikirannya terawang-awang entah ke mana akibat keletihan. Fariz yang berdiri di belakang jeep yang tidak berbumbung itu sentiasa bersiap siaga. Memicing pandangannya pada setiap batu dan di sebalik pepohon kecil  yang dilalui jeep ini. Awas dari segala kemungkinan.

“Wow!”

Normala memutar setereng ke kiri apabila sebuah pacuan empat roda memintas kenderaannya. Datuk Rauzah terpekik seketika dan terus berpaut pada palang kerusi kerana terkejut. Jeffri tidak menunggu lama. Rifelnya memuntahkan peluru.

Kenderaan musuh yang dielak sempat memintas. Debu yang digembur dari tayar kenderaan itu membutakan pandangan. Seseorang dari kenderaan musuh sudah berdiri mengangkat pistol. Normala membrek dan membelok ke kiri! Membiarkan kenderaan musuh meninggalkan jeepnya.

“Hati-hati!” jerit Fariz.

Sesaat dia memberi amaran, kenderaan mereka disondol oleh sebuah lagi kenderaan musuh yang baru muncul dari belakang! Menyebabkan kenderaan itu bergesel dengan tebing di tepi jalan. Fariz terjatuh terduduk. Pelurunya tersasar ke langit. Kenderaan musuh terus menyondol.

“Wo, wo, wo!”

Normala memutar setereng kenderaannya ke kanan pula. Sempat mengelak kenderaan di hadapan. Membuatkan kenderaan di belakang mereka menyondol kenderaan musuh di hadapan.

“Macam rali, pulak!” Dia tersengih dalam keadaan yang genting sebegitu.  Seolah-olah seronok dengan situasi cemas yang dilalui.

Dia memecut meninggalkan kedua-dua kenderaan musuh yang berlanggar. Dia tahu mereka akan terus mengejar kenderaannya.

“Oh, oh…” kata Datuk Rauzah seraya menuding ke langit.

Sebuah helikopter tiba-tiba mengambang dari balik perbukitan berhampiran. Seolah-olah mengiringi kenderaan yang dipandu Normala. Masing-masing sudah mengagak, itu helikopter musuh. Apa-apa akan terjadi.

“Laut!” pekik Datuk Rauzah seraya menuding pula ke hadapan. Memandang lautan yang luas terbentang.

“Bagus! Kita terkepung! Dari belakang… depan… dan dari atas!” ujar Jeffri.

“Betul! Terperangkap di antara darat, laut dan udara!” jawab Normala pula.

Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...

Sunday, March 3, 2013

FRAGMEN 30: GERAK GEMPAR


Photocredit: kootation.com

DARI sudut yang gelap tidak jauh dari situ, Jeffri nampak kelibat mereka bertiga. Setelah terdengar bunyi orang menghampiri, dia lekas-lekas membawa Datuk Rauzah untuk bersembunyi di situ.

            “Apalah, budak ni! Buat aral pulak,” gumam Jeffri bila nampak tangan Fariz terikat.

Mindanya segera mentafsir dan mencongak apa yang harus dilakukan untuk melepaskan perisik junior itu. Dalam keadaan yang genting ini, masa boleh menentukan berjaya atau gagalnya sesebuah operasi. Tersilap langkah, nyawa pula jadi galang gantinya!
           
            
Dia menoleh ke kanan, dan kemudian ke kiri sebelum berlari keluar dari kegelapan.

“Yeye alikimbia mbali! Yeye alikimbia mbali!”

Jeffri berlagak cemas dengan menceritakan Datuk Rauzah sudah lari. Jeffri mengunjuk lorong di sebelah kirinya. Kedua-dua lanun itu terpinga-pinga seketika sebelum berlari ke arah sebelah kiri.

“Wewe kuangalia baada yake.” Sambil berlari, seorang daripada mereka memerintah Jeffri untuk menjaga Fariz.

“Ndiyo! Ndiyo!” jawab Jeffri sambil terangguk-angguk beberapa kali.

 TANPA bersuara, Jeffri meleraikan ikatan di tangan Fariz. Kemudian mereka berdua bergegas ke arah di mana Datuk Rauzah berada.

            “Ni, budak saya!” Jeffri memperkenalkan Fariz kepada Datuk Rauzah.

            “Rakan!” pintas Fariz dengan wajah masam mencuka.

Fariz tidak suka dipanggil ‘budak saya.’ Panggilan itu bagai memperlekeh dirinya. Walhal, mereka sama-sama bertugas sebagai perisik. Bezanya hanya pada pengalaman. Jeffri jauh lebih berpengalaman kerana sudah berkhidmat lebih lama daripadanya. Itu tidak boleh menjadikan dia digelar sebagai ‘budak saya.’

Datuk Rauzah perasan perubahan riak wajah Fariz. Pasti ada sesuatu yang tidak enak berlaku di antara keduanya. Namun, di ketika yang genting itu, dia tidak mahu ambil peduli. Dia hanya mengekori Jeffri yang bergerak di hadapan dan Fariz di belakangnya.

JEFFRI menguak daun pintu. Kemudian menggamit Datuk Rauzah dan Fariz. Namun, sebaik sahaja Fariz melepasi pintu itu, satu hentakan kuat terhunjam ke kepalanya. Fariz nampak bintang. Belum sempat dia menggeleng untuk menghilangkan pandangannya yang berpinar, hentakan itu tiba lagi. Fariz tersungkur.

            “Jeff...” seru Fariz. Meminta bantuan.

            “Tak ada masa dah. Kau selesaikan sendiri!”

            Jawapan Jeffri menaikkan darahnya. Nampaknya dia terpaksa menyelesaikan masalahnya sendiri. Dia menoleh ke kiri dan kanan. Tercari-cari apakah yang menghentak kepalanya. Tiba-tiba dia nampak sesusuk tubuh.

            ‘Macam kenal dia ni,’ kata hati Fariz. Lantas dia teringat lelaki yang berdepan dengannya ini adalah pengawal yang berentap dengannya ketika memasuki markas ini. Lelaki berjambang yang tidak berbaju ini semakin menghampiri.

            Lelaki yang dipengsankan baru sebentar tadi sudah sedar.  Tentu  sekali tubuhnya sasa. Tulang besi berurat dawai! Dia mesti segera bertindak. Walau betapa banyak teknik tempur tanpa senjata sudah dijalaninya, dia mesti menggunakan akal.

            Lelaki itu mencekak bajunya. Fariz cuba menepis. Kedua-dua lengannya cuba menolak lengan lelaki itu. Namun sia-sia. Dia cuba mengangkat kakinya. Namun tubuhnya telah dihimpit perut lelaki itu. Kini tubuhnya tertolak ke tembok.

            Melihat dirinya sukar melawan, lelaki itu mula tersengih. Menampakkan giginya yang berkarat. Kemudian lelaki itu tertawa. Mulanya perlahan, kemudian semakin kuat. Membingitkan telinga Fariz. Janggut lelaki itu kelihatan bergerak dan bergegar mengikut gerakan mulutnya yang ternganga tertawa.

            “Aku tak ada masa!” bentak Fariz.

            “Ha?” Lelaki itu terhenti tertawa. Pasti dia pelik dengan bahasa yang digunakan Fariz.

            Sesaat kealpaan sudah cukup buat Fariz. Dengan pantas dia merentap janggut lelaki itu. Tangan lelaki itu terlepas dari leher baju Fariz. Namun Fariz tetap tidak melepaskan regangan pada janggut lelaki itu. Menyebabkan dia tertunduk bila tangan Fariz menarik janggut itu ke bawah.

            Fariz menghentak lututnya ke leher. Lelaki itu meraung. Dengan cepat Fariz menggunakan kekuatan kedua-dua tangannya untuk melayangkan dirinya terus ke belakang tubuh lelaki itu. Impak gerakan itu membuatkan lelaki itu tertiarap. Fariz tidak membuang masa. Jika sebelum ini Fariz hanya menekan titik nadi di leher lelaki itu, pada kali ini Fariz terus memancung tengkuknya.

            “Selamat tidur!” ujar Fariz sebelum berpaling dan berlari ke luar.

 “JALAN! Jalanlah!” pekik Jeffri.

“Saya nak tunggu!” jawab Normala yang kini menjadi pemandu.

Walaupun menunggu, Normala menekan-nekan pedal jeep buruk itu. Tidak mahu enjinnya mati secara tiba-tiba. Asap hitam menyembur-nyembur dari ekzosnya.

“Hmm... petrol gred satu!” ujar Datuk Rauzah yang duduk di kerusi belakang. Kepalanya terdongak tinggi. Tertoleh ke kiri dan kanan. Menangkap bau petrol yang singgah ke hidungnya.

“Ye ke?” tanya Normala. Curiga hendak tahu.

“Emm, emm. Ini kerja saya, kan?”

Jeffri mencebir. Pandangannya bersilih ganti memandang Normala di kanan dan Datuk Rauzah di belakangnya. Dia tidak senang, dalam keadaan sebegini genting pun mereka boleh bercerita tentang minyak.

“Jalan!” ujar Jeffri seraya menggagau stering.

Normala menepis dan merenung ejen itu.

“Tunggulah, Jeff! Seminit lagi! Dia orang kita!” bantah Normala.

“Jalan!” ujar Fariz sambil melompat ke belakang jeep.

Ketiga-tiga mereka menoleh ke arah Fariz. Tidak sedar sejak bila Fariz sampai. Seketika sahaja jeep itu sudah memecut meninggalkan markas Bad Holac.

 SAMBIL memandu,  Normala memandang fonsel yang terlekap di hadapannya. Skrinnya memapar koordinate di mana mereka berada. Panah kecil berwarna merah menunjukkan arah yang harus dilalui.

            “Kau tau jalan?” soal Jeffri.

            “Tak tau!” jawab Normala.

            “Habis, kita ke mana ni?” 

            “Baraawe!”

            “Tadi kata, tak tau jalan! Loyar buruk!”

            “Tengok kat atas tu!” jawab Normala.

            Jeffri mendongak. Fariz dan Datuk Rauzah pun berbuat begitu. Melihat kapalterbang tanpa pemandu yang jauh di langit. Hanya titik putih yang berkilau kelihatan oleh mata kasar. Bagai cenderawasih yang terbang di angkasaraya.

Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...